Wednesday, October 28, 2009

Dosa Berjual Beli Hari Jumaat

Sudah menjadi kebiasaan, disebabkan hari Jumaat adalah hari kerja di Malaysia, lelaki yang bekerjaya terpaksa terkejar-kejar mengambil waktu rehat tengahari untuk makan tengahari dan juga menunaikan solat fardhu Jumaat secara berjemaah. Namun, dalam ketika itu, ramai yang tidak sedar setiap minggu, mereka mungkin membeli makanan yang berulamkan dosa.

Sebelum ini, saya pernah mengulas berkenaan hal ini melalui siaran ‘Tanyalah Ustaz TV9' dan juga wawancara bersama Utusan Malaysia. Namun melihat kepada kekerapan dan kurang sensitiviti kalangan umat Islam di Malaysia khususnya. Satu penulisan ringkas yang khusus berkenaan hal ini adalah perlu.

Persoalan jual beli yang terus berlangsung di kalangan peniaga dan pembeli lelaki selepas azan pada hari Jumaat perlu dipandang serius atau ia akan berterusan. Lebih kurang menyenangkan, apabila melihat peniaga-peniaga ini berkhemah di luar masjid, mengambil untung atas perkumpulan umat Islam yang ingin menunaikan solat Jumaat, sedang mereka menjadi penyebab kepada dosa.

PENGHARAMAN JUAL BELI SELEPAS AZAN DI HARI JUMAAT

Solat Jumaat adalah wajib hanya ke atas lelaki baligh dan bukan wanita. Justeru setiap urusniaga di antara wanita dengan wanita selepas azan pertama atau kedua dikumandangkan pada hari Jumaat adalah sah dan harus. Justeru, ia tidak termasuk di dalam perbincangan para ulama dan bukan pula fokus artikel ini. Ia adalah satu keharusan yang disepakati oleh keempat-empat mazhab terbesar dalam Fiqh Islam.

Demikian juga halnya bagi mereka yang tidak wajib solat jumaat kerana sebab lain seperti sakit, musafir dan sebagainya.

Perbincangan hukum hanya berkisar kepada para lelaki, sama ada peniaga lelaki, pembeli lelaki atau kedua-duanya sekali yang sihat, baligh dan tidak bermusafir.

Asas hukum adalah dari surah al-Jumaat ayat 9 yang maksud-Nya:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِي لِلصَّلَاةِ مِن يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَى ذِكْرِ اللَّهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ذَلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ

Ertinya :Hai orang-orang yang beriman, apabila diseru untuk menunaikan sembahyang pada hari Jumat, maka bersegeralah kamu kepada mengingat Allah dan tinggalkanlah jual beli. Yang demikian itu lebih baik bagimu jika kamu mengetahui.

AZAN PERTAMA ATAU KEDUA?

Walaupun telah ijma'[1] di kalangan ulama akan pengharaman jual beli berdasarkan ayat di atas, mereka berbeza ijtihad dalam menentukan pengharaman itu jatuh selepas azan pertama atau kedua.

Perlu difahami bahawa azan Jumaat di zaman Nabi s.a.w, Abu Bakar as-Siddiq r.a dan Umar r.a hanyalah sekali sahaja, iaitu di ketika khatib (imam) naik ke atas mimbar untuk memulakan khutbah. Di zaman pemerintahan khalifah Uthman r.a, bilangan umat Islam bertambah lalu diperkenalkan azan kedua dan seterusnya ketiga (berfungsi sebagai iqamah).

Namun, hasil daripada kewujudan lebih dari satu azan selepas zaman Uthman, para ulama sekali lagi perlu berijtihad dalam menentukan azan manakah yang mesti tiada lagi jual beli selepasnya. Mazhab Maliki dan Hanbali jelas dan tegas bahawa pengharaman adalah selepas azan kedua iaitu di ketika khatib sudah naik ke atas mimbar, ia juga bertepatan dengan suasana di ketika turunnya ayat Al-Quran, para masa hayat baginda Nabi s.a.w.[2]

Imam At-Tohawi Al-Hanafi menegaskan :-

المعتبر الأذان عند المنبر بعد خروج الإمام ، فإنه هو الأصل الذي كان للجمعة على عهد رسول الله صلى الله عليه وسلم

Ertinya : Azan yang terpakai (dalam hal ini) adalah yang ketika keluar imam di atas mimbar, maka itulah yang asal sebagaimana Jumaat di zaman baginda Nabi s.a.w (Mukhtasar at-Tohawi, hlm 24)

Namun demikian, ulama mazhab Hanafi kelihatan mempunyai berbilang pandangan dengan majoriti di antara mereka berijtihad azan kedua adalah ‘pasti haram', cuma terdapat sebahagian besar mereka yang juga berpendapat pengharaman bermula sejak dari azan pertama (azan masuk waktu) lagi atau selepas tergelincirnya matahari pada hari tersebut.[3] Ini bermakna, mazhab Hanafi lebih tegas dalam hal ini dan disepakati oleh keempat-empat mazhab, berjual beli selepas azan kedua adalah haram.

Imam Ibn Kathir Al-Syafie menyebut :

اتفق العلماء على تحريم البيع بعد النداء الثاني

Ertinya : Para ulama bersepakat berkenaan pengharaman jualbeli selepas azan kedua ( Tafsir Ibn Kathir, 4/367)

BERDOSA SAHAJA ATAU AQAD JUGA BATAL?

Walaupun berjualbeli di waktu itu adalah haram yang beerti berdosa atas si penjual dan pembeli, namun adakah aqad jual beli mereka terbatal?

Jika kesalahan ini dilakukan, dosa yang ditanggung adalah satu peringkat, manakala sah batal transaksi itu pula adalah satu peringkat yang lain. Jika aqad tidak sah, beerti pemilikan harga yang diperolehi oleh penjual adalah batal dan demikian juga pemilikan pembeli ke atas barangan beliannya. Jika itu berlaku, beerti kedua-dua mereka menggunakan harta milik orang lain dan berterusan keadaan itu sehingga akhir hayat mereka dalam keadaan penuh syubhat dan bermasalah.

Dalam hal ini, para ulama tidak sepakat dalam menanggapi kesahihan atau terbatalnya aqad. Para Ulama terbahagi kepada dua kumpulan :

Pertama : Aqad adalah sah dan hanya dosa ditanggung oleh penjual dan pembeli. Ia adalah ijtihad dari mazhab Hanafi, Syafie dan sebahagian Maliki.

Kedua : Aqad batal dan berdosa ; Ia adalah pendapat mazhab Hanbali dan majoriti Maliki.

Namun, berdasarkan penelitian, pendapat pertama adalah lebih kukuh, khususnya adalah rukun dan syarat jual beli telah semuanya dipenuhi, kecuali ia melanggar waktu jualan yang diharamkan sahaja, atas kesalahn itu dosa sahaja ditanggung tanpa pembatalan aqad.

Apapun, amat perlu umat Islam di Malaysia dan dimana sahaja untuk lebih berhati-hati dalam hal ini. Justeru, amat digalakkan agar dapat dinasihatkan kepada para peniaga dan semua warga Muslim yang wajib ke atas solat Jumaat untuk menghindari kesalahan ini. Kita bimbang,akibat kejahilan, ramai yang melanggarnya secara berulang kali.

KESIMPULAN

Kesimpulan, jual beli itu akan jatuh haram hanya apabila:

a) Dilakukan selepas azan kedua sewaktu imam berada di atas mimbar.

b) Dilakukan oleh lelaki (sama ada sebagai peniaga atau penjual) yang wajib solat Jumaat.

c) Mengetahui berkenaan hukum haram ini, dan wajiblah ke atas individu mukallaf untuk mempelajarinya. Wajib pula untuk menyampaikannya bagi yang mengetahui.

Saya amat berharap agar para khatib dapat mengingatkan perkara ini setiap kali mereka berada di atas mimbar, juga diingatkan oleh para bilal sebelum mereka melaungkan azan kedua. Digalakkan pula bagi orang ramai untuk mengedarkan tulisan ini di masjid-masjid bagi menyedarkan orang ramai.

Sekian,

Thursday, October 8, 2009

Hukum Melakukan Onani


Assalamualaikum, Apakah Hukum melakukan onani?


Berikut adalah jawapan yang pernah diberikan oleh Syeikh Dr Yusof Al-Qaradawi :-

Kadang-kadang darah pemuda bergelora, kemudian dia menggunakan tangannya untuk mengeluarkan mani supaya alat kelaminnya itu menjadi tenang dan darahnya yang bergelora itu menurun. Cara semacam ini sekarang dikenal dengan nama onani (bahasa Arabnya: istimta' atau adatus sirriyah).

Kebanyakan para ulama mengharamkan perbuatan tersebut, di antaranya Imam Malik. Beliau memakai dalil ayat yang berbunyi:

"Dan orang-orang yang memelihara kemaluannya kecuali terhadap isterinya atau hamba sahayanya, mereka yang demikian itu tidak tercela. Tetapi barangsiapa mau selain yang demikian itu, maka mereka itu adalah orang-orang yang melewati batas." (Al-Mu'minun: 5-7)

Sedang orang yang onani adalah melepaskan syahwatnya itu bukan pada tempatnya.

Sedang Ahmad bin Hanbal berpendapat, bahawa mani adalah barang lebihan. Oleh karena itu boleh dikeluarkan, seperti memotong daging lebih.

Pendapat ini diperkuat oleh Ibnu Hazm. Tetapi ulama-ulama Hanafiah memberikan Batas kebolehannya itu dalam dua perkara:

Karena takut berbuat zina.
Karena tidak mampu kawin.
Pendapat Imam Ahmad ini memungkinkan untuk kita ambil dalam keadaan gharizah (nafsu syahwat) itu memuncak dan dibimbangkan akan jatuh ke dalam haram. Misalnya seorang pemuda yang sedang belajar atau bekerja di tempat lain yang jauh dari negerinya, sedang pengaruh-pengaruh di hadapannya terlalu kuat dan dia bimbang akan berbuat zina. Karena itu dia tidak berdosa menggunakan cara ini (onani) untuk meredakan bergeloranya gharizah tersebut dan supaya dia tidak berlaku zina.

Tetapi yang lebih baik dari itu semua, ialah seperti apa yang diterangkan oleh Rasulullah s.a.w. terhadap pemuda yang tidak mampu berkahwin, iaitu kiranya dia memperbanyak puasa, dimana puasa itu dapat mendidik beribadah, mengajar bersabar dan menguatkan kedekatan untuk bertaqwa dan keyakinan terhadap penyelidikan (muraqabah) Allah kepada setiap jiwa seorang mu'min. Untuk itu Rasuluilah s.a.w. bersabda sebagai berikut:

"Hai para pemuda! Barangsiapa di antara kamu sudah ada kemampuan, maka kahwinlah sebab dia itu dapat menundukkan pandangan dan memelihara kemaluan; tetapi barangsiapa tidak mampu, maka hendaknya ia berpuasa, sebab puasa itu baginya merupakan pelindung." (Riwayat Bukhari)


Dipetik dari kitab al-Halal wal Haram fil Islam

Walaupun demikian, berikut adalah ulasan lanjut saya ( sila buka ) :-

Terlalu banyak persoalan berkenaan onani ini. Kotak email dan ruangan komentar di web saya ini juga tidak terlepas dari pertanyaan seumpama ini. Ada sebahagiannya terpaksa saya dan admin 'delete' kerana bahasa dan bentuk soalannya yang kurang sesuai.


Antara soalan-soalannya :-


1) " ...ustaz, saya ada masalah yang menimpa diri saya semalam iaitu saya telah melakukan onani di siang hari bulan ramadhan."


2) "Assalammualaikum... Saya sudah berumur 24 tahun, saya sering beronani sebelum ini sehinggakan dalam satu hari pernah saya buat perkara keji ini sampai 3 kali oleh sebab terasa ghairah melihat perempuan yang seksi.


3) "Saya tidak dapat menahan lalu saya melihat gambar porno untuk memuaskan nafsu saya dengan cara beronani. Dan ini pernah berlaku pada siang hari di bulan ramadhan.apa yang saya perlu buat dan apakah hukumnya serta hukumannya."


4) "Saya juga ada masalah pasal onani ni oleh kerana terlalu menyesal dah perbuatan saya, saya telah bernazar untuk berpuasa 1 hari bagi setiap kali saya beronani."


5) "Salam..ustaz adakah beronani perlu mandi wajib? apa bezanya air mazi dan mani?adakah kedua2 tu ada pada perempuan? harap ustaz dapat jelaskan.terima kasih"


6) "Salam, saya sudah berkahwin tetapi tinggal berjauhan dengan isteri..kadang kala apabila teringatkan isteri saya, saya merasa ghairah dan kadang kala sehingga melakukan onani..apakah hukumnya?"









Sebeban Alasan


Dalam masa yang sama, adakalanya terlalu banyak pula alasan dan sebab yang diberikan oleh si penanya dengan harapan saya atau mana-mana individu yang ditanya akan mengatakan harus baginya.


"Seolah-olah ingin menjadikan kita sebagai jambatannya 'ke neraka', then kat akhirat dok tuding jari kepada kita" kata seorang rakan saya yang juga seorang penceramah aktif di Lembah Klang.


Selain hukum khas bagi perbuatan tidak sihat ini. Lebih dari itu, kebanjiran soalan-soalan sebegini menyebabkan saya menjadi semakin bimbang dengan keadaan umat Islam di Malaysia terutamanya.


Virus Bermula


Ia secara langsung menunjukkan umat Islam samada lelaki dan wanita sedang menghidap sindrom lemah kawalan nafsu syahwat seksual terhadap perkara nafsu syahwat yang haram.


Melayani syahwat dengan cara haram adalah salah satu punca kehancuran kemanisan solat, tanpa kemanisan solat, runtuhlah 'tiang agama' dalam diri seseorang, tatkala itu nafsu kebinatangan dan syaitan akan mula menguasai sehingga lahirlah manusia binatang seperti pembunuh Nurin Jazlin dan lain-lain.


Terdapat hadis yang mengingatkan melayani syahwat mata kepada yang haram sahaja akan menghancurkan kelazatan dan kemanisan iman.



ما من مسلم ينظر إلى محاسن امرأة ثم يغض بصره إلا أخلف الله له عبادة يجد حلاوتها

Ertinya : Tiada seorang Muslim pun yang melihat kepada kecantikan wanita (aurat) kemudian ia mengalih pandangan matanya kecuali Allah s.w.t akan memberikan kepadanya kemanisan dalam ibadahnya (Riwayat Ahmad & At-Tabrani , Ibn kathir, 3/283, Ibn Kathir & Al-Munziri : Dhoif dan Ibn Kathir berkata , boleh diguna dalam hal galakkan)


Juga disebut dalam sebuah athar :



النظر سهم مسموم من سهام إبليس

Ertinya : "Pandangan mata adalah panah beracun dari panahan Iblis" ( Mirqatul Mafatih, 1/255; Ruhul Ma'ani, 22/7)


Malah ia juga bakal merosakkan hati :-



كل عين باكيه يوم القيامه الا عينان عين غضت عن محارم الله

Ertinya : Setiap mata akan menangis di hari kiamat kecuali mata yang dilindungi (berpaling) dari perkara yang diharamkan Allah s.w.t" ( at-taysir bi Syarhi al-Jami' as-Soghir, 2/216 : Hadis Hasan)


Ketahuilah saudara-saudariku, melayani onani merupakan permulaan kehancuran hati seseorang. Merupakan salah satu permulaan kepada zina.

Ia sering diwarwarkan kononnya sebagai penyelamat dari zina, hakikatnya ia juga merupakan pintu mula kepada zina.


Ia adalah pintu mula seseorang berjinak dengan melayani nafsu syahwat seksual mereka tanpa menurut arahan Allah dan RasulNya. Nafsu yang tidak dikawal ini adalah sentiasa meminta lebih dan lagi, akhirnya akan menjerumus kepada menonton gambar pornografi, video, mengintai dan ditamatkan dengan zina yang tiada had kepuasannya. Memang itu sifat nafsu syahwat samada seksual ataupuan harta. Sekali ia dilayan, tiada lagi pintu puas.


Sebagaimana hadis yang telah saya bawakan dahulu iaitu :-



لو كان لابن آدَمَ وَادِيَانِ من مَالٍ لَابْتَغَى ثَالِثًا ولا يَمْلَأُ جَوْفَ بن آدَمَ إلا التُّرَابُ

Ertinya : Sekrianya anak Adam itu punyai dua lembah dipenuhi emas, nescaya sudah tentu mereka akan inginkan yang ketiga, dan tidak disumbatkan diperutnya tanah (mati)( Riwayat al-Bukhari , 5/2364 )


Demikian juga perihalnya dengan nafsu syahwat seksual. Ia merupakan satu penyakit dalaman yang serius. Saya cuba memperkemaskan huraian berkenaan onani walaupun jawapan Syeikh Dr Yusof Al-Qaradawi terhadap masalah Onani yang telah saya siarkan di web ini.


Kesimpulan pandangan terkuat oleh pelbagai kumpulan ulama mendapati bahawa hukum Onani adalah : -

1) satu perbuatan yang haram, tetapi ia bukanlah satu jenis dosa besar seperti zina, rasuah, riba, membunuh dan sebagainya.

Ia dianggap melepaskan nafsu bukan pada tempatnya, ia adalah ditegah oleh Allah s.w.t :-



وَالَّذِينَ هُمْ لِفُرُوجِهِمْ حَافِظُونَ إِلَّا عَلَى أَزْوَاجِهِمْ أوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُمْ فَإِنَّهُمْ غَيْرُ مَلُومِينَ فَمَنِ ابْتَغَى وَرَاء ذَلِكَ فَأُوْلَئِكَ هُمُ الْعَادُونَ



Ertinya : "dan orang-orang yang menjaga kemaluannya, kecuali terhadap istri-istri mereka atau hamba sahaya yang mereka miliki; maka sesungguhnya mereka dalam hal ini tiada tercela; Barang siapa mencari yang di balik itu maka mereka itulah orang-orang yang melampaui batas. ( Al-Mukminun : 5-7)


Allah menyifatkan orang yang memuaskan nafsunya dengan cara selain dengan isteri atau suami yang sah sebagai :-


a) Malumin : Ertinya : "tercela"
b) Al-'adun : Ertinya : " orang-orang yang melampaui batas"
2) Hukum dosa ini sememangnya boleh berubah menjadi tidak berdosa sekiranya ia dilakukan dalam keadaan dharurat iaitu di ketika tanpa melakukan seseorang akan PASTI terjerumus dalam kancah zina.


Perlu diingat dharurat di sini hanya adalah di ketika 'pasti akan terjerumus' iaitu tatkala kemudaratan zina itu benar-benar BOLEH BERLAKU seperti ia telah tahu di mana boleh mendapatkan pelacur, bohsia atau teman wanitanya, punyai tempat yang strategik untuk maksiat dan lain-lain.


Maksud saya, jika sekadar ia rasa ingin berzina sahaja tetapi ia tidak punyai teman wanita, ia tidak pernah tahu di mana mahu melanggani pelacur, atau kesimpulan tiada mempunyai idea sebenarnya bagaimana ingin merealisasikan niat jahat berzinanya, disamping masih tidak yakin ia boleh terjerumus ke lembah sehina itu. Hukum keringanan (rukhsah) sementara akibat terdesak dan bagi mengelak zina yang disebutkan oleh sebahagian ulama itu TIDAK boleh dipakai sewenang-wenangnya.

3) Hukum dosa ini boleh menjadi bertambah besar apabila ia menjadi tabiat dan amalan kebiasaan disebabkan tindakannya sendiri seperti menjadi kegemarannya untuk melihat gambar dan video lucah. Akibat dari tindakannya itu, ia terdorong ingin berzina lalu beronani. Tatkala itu, tindakan onaninya bukan lagi terdesak tetapi dirinya sendiri yang sengaja mendorong kepada terdesak itu.


Ia berbeza dengan seseorang yang terangsang syahwat akibat ternampak dan sukar mengelakkan pandangan matanya dari permandangan kurang elok di tempat kerja atau dalam perjalanannya ke tempat kerja dan pulang.

4) Hukum dosa atau haram melakukan onani bagi lelaki dan wanita juga menjadi bertambah serius apabila dapat disahkan perbuatan onani tadi mempunyai kesan negatif kepada kesihatan.

Bagi menguatkan fatwa hukum, kenyataan doktor sakit tuan, Dr.Ismail Thamby boleh dijadikan panduan fakta iaitu :-

1) kesan buruk kepada kehidupan seksual apabila berumahtangga

Beliau menyebut :-

Jika anda lakukan onani secara luar biasa seperti melakukan rangsangan seksual secara kasar dan kuat untuk mengecapi klimaks, mungkin apabila beristeri, anda akan mendapati bersetubuh dengannya tidak memberi kepuasan seperti anda kecapi secara onani.

Masalah ini dikenali sebagai ‘Traumatic Masturbatory Syndrome'. Yang menimbulkan masalah ialah onani mengakibatkan klimaks anda berlaku dengan cepat, yang jika berterusan dan diamalkan akan mengakibatkan anda tidak dapat bertahan lama apabila mengadakan hubungan seksual sebenar.

2) Tahap kesihatan kemaluan boleh terjejas hingga Mati Pucuk

Beliau menyebut :-

Selain itu, jika agak ganas dengan cara merangsang anggota sulit anda sehingga mengakibatkan anggota itu sakit dan bengkak, kemungkinan satu hari anda akan mengalami mati pucuk apabila kerosakan lama menunjukkan kesannya.

Ini kerana anggota sulit adalah organ vaskular dan tidak boleh diurut atau dirangsang dengan keras. Ia hanya sesuai untuk dirangsang melalui salur faraj perempuan.

3) Boleh Mandul kerana kerosakan buah zakar lelaki

Beliau berkata :

Namun, saya ingin mengingatkan yang kerosakan buah zakar boleh berlaku pada bila-bila masa ketika melakukan onani, dan jika ia berlaku dan menjejaskan kilang sperma, sudah tentu anda akan mandul kerana sperma tidak lagi dihasilkan ‘kilang'.

Sebagai contoh, anda melakukan onani dalam keadaan tidak terkawal seperti pengaruh alkohol, menyebabkan tidak tahu atau sedar ketika itu anda teragut buah zakar atau mencederakan buah zakar.

Anda hanya menyedari selepas beberapa lama yang buah zakar anda menjadi semakin kecil atau bengkak, dan jika kilang sperma terjejas, anda akan menjadi mandul.

Sudah tentu perkara yang menyeronokkan sukar untuk dihentikan, kecuali berlaku sesuatu perkara yang memudaratkan seperti keradangan buah zakar, kecederaan zakar seperti kebengkakan zakar.

Bagaimanapun, ia sudah terlewat jika tiada cara perawatannya. Mungkin jika zakar terkulai, bengkok atau patah, ada cara rawatan seperti pemulihan dengan pembedahan atau penggunaan alat pemulih.

Namun, jika kilang sudah rosak dan buah zakar mengecil, tiada penawarnya. Jadi cuba kurangkan amalan onani, terutama secara kasar. Anda perlu ingat, anda hanya ada satu zakar, bukan sepasang. Jika zakar itu tidak berguna, hidup anda merana selama-lamanya!

Rujukan


Penutup

Sebagai akhirnya, antara fungsi Ramadhan adalah mendidik hati dan diri agar mampu mengawal nafsu berikut :-

1) Nafsu marah apabila Nabi menegah kita dari melayani ajakan pergaduhan semasa berpuasa.
2) Nafsu makan dan minum. Apabila kita di tegah makan dan minum di siang hari.
3) Nafsu tidur. Apabila kita dianjurkan untuk bangun sahur.
4) Nafsu Syahwat. Apabila kita diarahkan untuk elakkan ‘bersama' isteri di siang hari Ramadhan.
Amat diharapkan Ramadhan yang baru berlalu dapat menghasilkan kemampuan kekangan segala nafsu melampau dalam hal yang disebut di atas.


Teringat saya kepada khutbah Jumaat yang disampaikan oleh Prof. Dr Sano Qutoub Mustafa ( Prof Syariah di UIAM ) pada 19 Oktober yang lalu. Beliau mengatakan

"jika keadaan iman dan amalan anda selepas Ramadhan adalah sama atau lebih teruk dari sebelumnya, ia adalah tanda anda tidak mendapat keampunan Allah pada bulan Ramadhan yang lalu"

Sekian

Wednesday, October 7, 2009

TAN SRI SYED MOKHTAR AL BUKHARY : ADAKAH CEPAT KAYA ?

Umur - 53 tahun
Pendidikan - SPM
Mula berniaga - 19 tahun (jual beli lembu dan kerbau)
Kekayaan -RM1,425 juta
Ke 7 terkaya di Malaysia
Ke 32 terkaya di Asia Tenggara (Forbes)


Tan Sri Syed Mokhtar al-BukharyTAN Sri Syed Mokhtar al-Bukhary adalah usahawan yang banyak menderma dan banyak melakukan kerja-kerja amal. Latar belakang kehidupanTan Sri Syed Mokhtar dilahirkan di Alor Setar, Kedah pada tahun 1951. Keluarganya berasal dari Hadhramaut, Yemen. Sebelum mengambil keputusan menetap di Kedah, bapanya mengembara hingga ke Asia Tengah untuk berniaga. Seterusnya, bapanya ke Thailand. Pada pertengahan tahun 40-an, barulah bapa Tan Sri Syed Mokhtar mengambil keputusan menetap di Alor Setar, Kedah. Pada tahun 1946, bapanya mendirikan rumah tangga. Tan Sri Syed Mokhtar mempunyai tujuh orang adik beradik dan dia adalah anak yang ketiga. Tan Sri Syed Mokhtar hidup dalam keadaan yang serba kekurangan hinggakan rumah kayunya yang terletak di Kampung Hutan Keriang tidak mempunyai katil, meja mahupun kerusi. Ini menyebabkan beliau susah hendak menelaah.
Walaupun demikian, setiap yang berlaku itu pasti ada hikmahnya. Keadaan itu juga mendorong beliau supaya memulakan kelas tuisyen percuma sebagai salah satu program kebajikan di bawah Yayasan al-Bukhary yang ditubuhkannya bagi menyumbang ke arah kebajikan. Kini, seramai 15,000 orang pelajar mendapat faedah daripada program tuisyen itu.PendidikanTan Sri Syed Mokhtar memulakan persekolahannya di Alor Setar tetapi apabila beliau berusia 9 tahun, beliau dihantar tinggal bersama-sama dengan bapa saudaranya, Syed Omar di Johor Bahru. Beliau berada di situ dari darjah empat hinggalah ke tingkatan dua. Tan Sri Syed Mokhtar kemudiannya kembali ke kampung halamannya di Alor Setar dan menyambung persekolahannya hingga ke tingkatan lima di Sekolah Saint Micheal's.Sebenarnya, Tan Sri Syed Mokhtar bukanlah orang yang berpendidikan tinggi. Beliau tidak pernah belajar hingga ke peringkat universiti. Namun, ini tidak bermakna beliau seorang yang tidak berilmu. Kebanyakan ilmunya diperoleh melalui pengalaman secara langsung apabila beliau bergiat dalam dunia perniagaan sejak kecil lagi. Membantu keluargaDisebabkan keadaan keluarganya yang kurang berkemampuan, Tan Sri Syed Mokhtar membantu ibunya menanam sayur-sayuran bagi menampung pendapatan keluarga. Mereka menjualnya di pasar di Jalan Telok Wan Jah. Beliau juga menjual roti canai di pasar yang sama. Semasa waktu rehat di sekolah pula, ayahnya akan menemuinya di sekolah dan memintanya membuat simpan kira. Selepas waktu sekolah, Tan Sri Syed Mokhtar membantu menggembala haiwan peliharaan bapanya di pusat kuarantin berdekatan dengan stesen kereta api Alor Setar. Beliau banyak menimba ilmu dan pengalaman semasa melakukan kerja-kerja itu. Mula berniagaPada tahun 1970-an, perniagaan binatang ternakan bapanya mengalami kemerosotan ekoran tercetusnya wabak kaki dan mulut. Wabak itu merebak ke seluruh Selatan Thailand, Kedah dan Perlis. Semua binatang ternakannya mati begitu sahaja. Sejak itu, Tan Sri Syed Mokhtar mengambil alih perniagaan bapanya dan membuat keputusan untuk tidak lagi melibatkan diri dalam bidang penternakan. Beliau mula menjual daging secara kecil-kecilan.Sebenarnya, Beliau pergi dari pekan ke pekan di sekitar Alor Setar bagi membeli daging yang tidak terjual. Beliau kemudiannya membungkus daging itu bersama ais dan menjualnya kembali kepada peniaga Bumiputera dan restoran-restoran di sekitar Alor Setar. Beliau berjaya dalam perniagaan itu. Kejayaan itu menambahkan keyakinan beliau bagi memajukan diri dalam dunia perniagaan.Daripada perniagaan menjual daging, beliau beralih pula kepada perniagaan pengangkutan. Pada tahun 1972, beliau berjaya mendapat permit bagi empat buah lori Kelas A. Beliau mendapat bantuan pinjaman sebanyak RM110,000 daripada pihak MARA yang digunakannya bagi membeli dua buah lori Mercedes 911LS.Sebenarnya, seorang peniaga Cina menawarkan sejumlah wang bagi baki dua permit yang tidak digunakannya. Tan Sri Syed Mokhtar enggan dan menyerahkan permit itu kembali kepada MARA. Selepas membeli dua buah lori itu, Tan Sri Syed membuka syarikat pengangkutan yang dinamakan Syarikat Pengangkutan Sentosa dan melantik kerani Cina sebagai pengurus syarikatnya itu. Tan Sri Syed Mokhtar menggunakan lori-lorinya bagi memulakan perniagaan beras. Syarikat Kenderaan Sentosa masih wujud sehingga ke hari ini dan memiliki lebih daripada 40 buah lori.Menubuhkan syarikatPada tahun 1974, Tan Sri Syed Mokhtar membeli rumah kedainya yang pertama di Jalan Telok Wan Jah di bawah perjanjian sewa beli dengan UDA atau Perbadanan Kemajuan Bandar. Seterusnya, pada tahun 1975, beliau menubuhkan Syarikat Shah dan memohon lesen perdagangan beras daripada Lembaga Padi Negara yang kini dikenali sebagai Bernas. Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Dia berjaya mendapat kontrak bagi membekalkan beras ke pihak FELDA, MARA Senama, Pernas Edar dan juga Sergam Sdn. Bhd., iaitu anak syarikat Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Johor.Selepas berjaya dengan Syarikat Shah, beliau menubuhkan syarikat usaha sama dengan dua orang peniaga Cina, iaitu Ng Ghiak Gee dan Chua Chong Tan. Ghiak Gee adalah pedagang beras manakala Chong Tan pula pengilang beras. Dalam syarikat usaha sama itu, Tan Sri Syed Mokhtar memegang 52 peratus kepentingan manakala Ghiak Gee dan Chong Tan masing-masing 32 peratus dan 16 peratus. Perniagaan usaha sama yang diberi nama Bukhary Sdn. Bhd. itu memulakan operasinya pada 15 Julai 1976, di pejabatnya di Jalan Telok Wan Jah.Perniagaan terus berkembangDaripada beras, beliau kemudiannya mengembangkan perniagaannya kepada komoditi lain, iaitu gula. Ini masih dijalankan sehingga ke hari ini melalui Bukhary Sdn. Bhd. Pendapatan tahunan Bukhary Sdn. Bhd. kini mencecah RM250 juta.Setahun selepas Bukhary Sdn. Bhd. memulakan operasinya, beliau menubuhkan Bukhary (KL) Sdn. Bhd. pada tahun 1977. Syarikat itu ditubuhkan khas bagi mendapatkan kontrak kerajaan yang pada masa itu banyak ditawarkan kepada usahawan Bumiputera. Operasi Bukhary (KL) Sdn. Bhd. dijalankan di rumah kedai empat tingkat di Jalan Pahang yang juga dibeli melalui perjanjian sewa beli dengan UDA. Usahanya membuahkan hasil lagi. Tan Sri Syed Mokhtar diberikan kontrak bagi membekalkan beras, teh, tepung coklat, tepung susu dan juga minyak sapi kepada kerajaan. Bahagian bawah pejabatnya diubah suai menjadi pusat pembungkusan.Apabila beliau mendapat kontrak pembekalan itu, Tan Sri Syed Mokhtar menubuhkan Susu Mas Sdn. Bhd. pada tahun 1979. Syarikat itu juga adalah syarikat usaha sama di antara dirinya yang memegang 51 peratus kepentingan dengan New Zealand Milk Products yang memegang saham selebihnya. Produk Susu Mas Sdn. Bhd. dipasarkan di bawah jenama Fernleaf dan Anchor. Pada pertengahan tahun 80-an, Tan Sri Syed Mokhtar menjual kepentingannya dalam Susu Mas Sdn. Bhd. ekoran kemelesetan ekonomi.Strategi tersendiriPada tahun 1978, beliau dijemput menyertai delegasi perdagangan ke Ekso Perdagangan Canton, China. Semasa berada di China, Tan Sri Syed Mokhtar menjalankan sistem barter, iaitu menukarkan kokonya dengan teh dari China. Cuma bezanya sistem barter zaman sekarang dijalankan secara besar-besaran atau pukal. Contohnya, menukarkan 1 tan minyak sawit dengan 1 tan minyak mentah.Perniagaan pakaianSelepas mengembangkan perniagaannya bermula daripada bidang komoditi ke pengangkutan, pembungkusan dan barter, beliau kemudiannya melangkah kepada sektor pembuatan. Ini ekoran kejayaannya mendapat kontrak membuat pakaian seragam tentera bagi pihak Kementerian Pertahanan. Kontrak itu adalah bagi membekalkan pihak tentera dengan 120,000 pasang kasut dan 330,000 pasang pakaian seragam. Apabila berjaya mendapat kontrak itu, beliau mula mencari pembekal. Pada mulanya, beliau membeli secara terus daripada pengilang.Selepas membeli daripada pengilang, beliau kemudiannya membuat keputusan menubuhkan dua buah syarikat, iaitu Amtek Holdings bagi mengeluarkan kasut dan Oriental Garments Uniform Division bagi mengeluarkan pakaian. Oriental Garments Uniform Division adalah syarikat usaha sama dengan Oriental Garment yang berpusat di Seberang Prai.Apabila Amtek Holdings disenaraikan di Papan Kedua Bursa Saham Kuala Lumpur pada tahun 1998, beliau menggunakan wang penyenaraian yang diperolehnya bagi membeli Spark Manshop dan hak bagi mengeluarkan dan memasarkan pakaian berjenama Crocodile. Kini, anak syarikat Amtek Holdings mengeluarkan kasut tentera (Amtek Shoes) dan pakaian berjenama Lee Coopers dan Lois (Amtek Garments Sdn. Bhd.) bagi pasaran eksport.Perniagaan perkapalanTidak cukup dengan perniagaan pakaian, beliau juga bergiat dalam perniagaan perkapalan. Beliau menubuhkan Bukhari Shipping dan mendaftarkannya dengan pihak Perbendaharaan. Bukhari Shipping bertindak sebagai broker kapal di bawah polisi CABOTAGE. Melalui Bukhari Shipping, Tan Sri Syed Mokhtar membeli sebuah kapal buatan Jerman yang berusia 28 tahun pada harga USD1 juta.Kapal yang diberi nama Angsa Mas itu digunakan bagi mengangkut beras dari Thailand ke Sabah dan Sarawak. Walau bagaimanapun, perniagaan itu mengalami kerugian yang menyebabkan beliau terpaksa menjual kapalnya pada harga USD600,000, iaitu rugi sebanyak USD400,000 (USD1 juta - USD600,000).Pada masa yang sama, beliau mula mem*sensored*tkan diri dalam sektor pembangunan hartanah. Beliau membeli beberapa bidang tanah di Alor Setar dan memulakan beberapa projek perumahan di bawah syarikat Bukhary Development.Penglibatan dalam projek penswastaanBeliau terlibat dalam projek penswastaan Johor Port Sdn. Bhd. dan Johor Tenggara Oil Palm Sdn.Bhd. Beliau membeli Johor Port melalui tender pada harga RM330 juta. Johor Tenggara Oil Palm Sdn. Bhd. pula dibelinya pada harga RM135 juta. Melalui Johor Port Sdn. Bhd., beliau menjayakan projek Pelabuhan Tanjung Pelepas.Kini, Pelabuhan Tanjung Pelepas semakin maju hingga mereka berjaya meyakinkan dua buah syarikat perkapalan antarabangsa, iaitu Maersk Sealand dari Denmark dan Evergreen Marine dari Taiwan supaya berpindah dari Pelabuhan Singapura ke Pelabuhan Tanjung Pelepas.Projek penswastaan ketiganya adalah penswastaan air yang mana beliau menubuhkan Equiventure Sdn. Bhd., iaitu syarikat usaha sama di antara syarikatnya, Kembangan Dinamik dan Pilecon Bhd. serta syarikat Perancis, Oneo. Pegangan Kembangan Dinamik dalam syarikat itu adalah sebanyak 49 peratus.KepentinganBeliau membeli MMC Corporation, iaitu syarikat kejuruteraan pada harga RM3 sesaham daripada Permodalan Nasional Berhad (PNB). Tan Sri Syed Mokhtar juga memiliki 22.7 peratus pegangan dalam Malakoff Berhad, iaitu syarikat pembekalan elektrik dan 20 peratus pegangan dalam IJM Corporation Berhad di mana perniagaan utamanya adalah pembuatan. Selain itu, beliau memiliki 18 peratus pegangan dalam Bernas yang terlibat dalam perdagangan beras dan 32 peratus pegangan dalam Pernas International Holdings Berhad, iaitu konglomerat yang terlibat dalam banyak sektor perniagaan. Manakala 18.7 peratus pegangan dalam Fiamma Holdings Berhad, syarikat pemasaran dan pengedaran barangan elektronik serta 100 peratus kepentingan dalam MPH, iaitu syarikat peruncitan dan pengedaran buku.

Objektif penubuhan Yayasan al-BukharyYayasan al-Bukhary ditubuhkan pada Mac 1996 sebagai badan kebajikan yang berperanan membantu golongan miskin, menyokong perkembangan seni dan budaya Islam dan juga menggalakkan persefahaman antara peradaban. Antara objektif utama Yayasan al-Bukhary adalah menggalakkan persaudaraan sesama Islam. Yayasan ini terdiri daripada dua buah bahagian. Satu bahagian menjalankan kerja-kerja kebajikan manakala satu bahagian lagi menguruskan penyaluran dana daripada setiap syarikat yang mana Tan Sri Syed Mokhtar ada kepentingan di dalamnya. Sehingga kini, Yayasan al-Bukhary membelanjakan lebih RM300 juta bagi aktiviti keagamaan, kebudayaan dan pendidikan. Selain itu juga, Yayasan al-Bukhary hanya membiayai pelajar miskin. Antara inisiatif yang dilakukan adalah membiayai pelajar Muslim miskin dari serata ASEAN supaya belajar di Malaysia.Projek-projek utama Yayasan al-BukharyAntara projek terbesar yang sedang dijalankan adalah pembinaan Kompleks al-Bukhary yang bernilai RM400 juta di Kedah yang dijangka siap pada akhir tahun 2004. Kompleks itu kelak memainkan peranan sebagai kompleks yang lengkap dengan pelbagai kemudahan seperti masjid, pusat perubatan, pusat komuniti, rumah anak yatim, akademi khas bagi warga tua dan pusat pengajian tinggi.Antara projek besar yang disiapkan adalah Muzium Kesenian Islam Malaysia di Kuala Lumpur yang bernilai RM100 juta. Muzium empat tingkat itu adalah muzium pertama di rantau Asia Pasifik yang memaparkan hasil seni Islam. Yayasan al-Bukhary juga membina 12 buah masjid di serata negara.Sumbangan dalam bidang pendidikanPada tahun 2000, Yayasan al-Bukhary mendermakan sejumlah RM7.75 juta kepada Oxford Centre for Islamic Studies, iaitu pusat pengajian Islam yang terkenal di serata dunia. Yayasan al-Bukhary juga kini sedang membantu Institut Pembangunan Pendidikan Maju (MIED) dalam projek bagi mengasaskan Institut Perubatan, Sains dan Teknologi Asia (AIMST) di Sungai Petani, Kedah. Selain itu, Yayasan al-Bukhary juga sering mengadakan dialog peradaban bagi menggalakkan toleransi dan persefahaman antara masyarakat berbilang agama dan kepercayaan.Penglibatan Yayasan al-Bukhary dalam projek yang dimulakan oleh bukan Islam juga terserlah. Walaupun Yayasan al-Bukhary lebih menekankan kepada projek kebajikan yang bercirikan Islam, ia tetap menyumbang kepada projek yang dijalankan oleh organisasi bukan Islam. Contohnya, Yayasan al-Bukhary menyumbang sebanyak RM satu juta bagi Projek Langkawi, iaitu projek yang dimulakan oleh MCA bagi mengumpul dana bagi menjalankan projek pendidikan di luar bandar dan juga memberi biasiswa kepada para pelajar yang kurang mampu.Tan Sri Syed adalah usahawan Bumiputera yang terkaya di Malaysia dengan kekayaan yang bernilai RM1.67 bilion.
Info ini diambil dari
http://www.iluvislam.com/v1/readarticle.php?article_id=546

KOMEN RINGKAS SAYA
1) Jelas dari info yang dinyatakan di atas. Keuntungan yang dihasilkan benar-benar atas kerja dan usaha yang tidak mudah serta memakan masa. Ia tidak bersifat cepat kaya.
2) Jelas juga kelihatan tender dan projek kerajaan adalah antara pendorong dan pembantu utama usahwan bumiputra seperti beliau untuk mencapai kedudukan sekarang. Saya pernah bertugas sebagai Shariah Consultant di sebuah syarikat Bumiputra dalam industri pembuatan, iaitu
Ingress Corporation Berhad.
Syarikat ini adalah sebuah syarikat bumiputra contoh yang cukup dinamik dan energetic kerana tidak begitu banyak bergantung kepada tender kerajaan sahaja, tetapi meluaskan empayar ke Thailand, Indonesia dan lain-lain melalui kualiti tanpa 'bodek' politik mahupun rasuah. Benar, peluang yang diberikan oleh kerajaan untuk usahawan Bumiputra jangan diabaikan selagi ia halal.
3) Saya tidak nafikan, realiti di zaman ini memang sukar untuk berjaya di dalam bisnes yang besar-besar khasnya kecuali terdapat unsur-unsur tidak sihat seperti rasuah, tender tertutup, kabel orang dalam, kabel politik dan lain-lain.
Bagi mereka yang rasa diri terjebak atau ragu-ragu, salah satu tindakan terbaik adalah memperbanyakkan derma, sedeqah dan bantuan kepada masyarakat awam sebagaimana yang ditunjukkan model Yayasan Al-Bukhary. Sudah tentu saya tidak mengatakan beliau terlibat dengan apa-apa yang tidak sihat, cuma yang ingin saya tegaskan adalah perlunya usahawan Islam yang berjaya melakukan usaha seperti Yayasan kebajikan begini kerana ia memang menjadi pembersih kepada harta-harta syubhat dan haram serta mampu menaikkan keberkatan dalam pendapatan harta.
4) Dari kisah di atas juga kelihatan, sijil universiti bukan satu-satunya masa depan buat para pelajar. Hanya sekadar SPM (tapi SPM di zaman Tan Sri sebenarnya sememangnya sudah sangat hebat) seseorang masih boleh maju kehadapan.
5) Semua harta ini bukanlah menjadi milik kita selamanya, nikmatnya akan terhenti sejurus kematian menjelma kecuali bagi sesiapa yang bijak menggunakannya untuk alam akhirat.
6) Jadikan kisah di atas sebagai panduan dan motivasi diri untuk memberi manfaat kepada umat Islam yang lain.
Hari ini, saya meneliti permohonan pembiayaan Islam oleh sebuah syarikat milik bukan Islam. Syarikat ini menyediakan tin, dan bahan makanan dalam tin, susu dan lain-lain. Ia disahkan sebagai produk halal dan telah mendapat tempahan dari seluruh dunia terutamannya negera-negara umat Islam seperti UAE, Syria, Yemen, Qatar, Saudi, Iran, Sudan dan lain-lain. Betapa bersungguhnya mereka dalam kerjaya dan memohon pembiayaan Islam pula.
Tidak dinafikan, terdetik hasrat untuk melakukan yang sama demi membantu umat Islam dan masyarakat Islam disamping memperbanyakkan peluang pekerjaan buat umat Islam. Mari bersama saya menubuhkan sebuah Pasaraya Besar Islam yang halal, anda minat menjadi rakan kongsi dan melabur? :) Ia adalah satu peringatan ini buat diri saya sebenarnya.
Sekian, sekadar ulasan ringan di waktu kesibukan yang amat kini.