Monday, November 16, 2009

Tuan Guru Nik Aziz & Haji Dengan Wang Hadiah

SOALAN

Apa pandangan ustaz berkenaan seseorang pergi haji dengan wang hadiah orang lain, saya rasa ustaz faham isu ini berkait dengan kenyataan Tuan Guru Menteri Besar Kelantan yang membatalkan hasrat menunaikan haji pada tahun ini (2009) akibat pertikaian dan tuduhan rasuah. Tapi beliau masih bersedia menerima tajaan dari mana-mana pihak tahun hadapan.

JAWAPAN

Hukum asal bagi menunaikan haji dengan wang hadiah adalah HARUS tanpa sebarang khilaf. Walaupun seseorang digalakkan untuk menggunakan wang sendiri bagi menunaikan haji bagi memperolehi maksud haji yang menagih pengorbanan tenaga dari tubuh badan, minda dan wang.

Namun demikian, adalah tidak salah sama sekali sesiapa yang mampu untuk menghadiahkan sebahgain dari kurniaan kekayaannya bagi menaja sesiapa sahaja khsuusnya bagi mereka yang belum menunaikan haji untuk melunaskan rukun Islam yang kelima itu. Demikian juga diharuskan untuk menaja mana-mana alim ulama bagi tujuan yang sama.

Namun begitu, hukum asal akan berubah mengikut keadaan dan situasi. Persoalan niat adalah persoalan yang sukar dijadikan sandaran dalam hal ini kerana ia adalah urusan hati yang tersembunyi, diketahui secara tepat hanya oleh Allah swt.

Justeru, jika ada mana-mana ilmuan yang menjawab dalam persoalan ini bahawa semuanya bergantung kepada niat, sudah tentulah begitu di sisi Allah, namun pandang sisi manusia juga perlukan penejelasan yang lebih mendalam sebagai satu panduan. Menyatakan hukum dengan menynadarkan ia kepada niat semata-mata dibimabngi akan disilap fahami oleh orang awam sehingga menyalahgunakan hujjah tersbeut dalam tindakan yang terangan bersalahan dengan displin Islam, seperti berdua-duaan (berdating) di tempat sunyi kemudian mendakwa niat mereka baik dan sebagainya.

APA RASUAH ?

Sebelum kita pergi lebih lanjut, perlu difahami erti rasuah menurut istilah yang diterima pakai oleh perundangan Islam adalah :-

ما يُعطى لإبطال حق أو لإحقاق باطل

Ertinya : Apa-apa yang diberikan untuk membatalkan sesuatu yang benar dan membenar yang batil (melayakkan yang batil) ( Syarh as-Sunnah, Al-Baghawi, 10/88)

Namun demikian, takrif Rasuah menurut perundangan di Malaysia pula adalah lebih pelbagai dan boleh dibaca dari tulisan saya yang lalu di SINI .

JADI APA PANDUAN HUKUM DALAM HAL INI?

Bagi memahami perubahan hukum dalam hal ini, beberapa dalil dan situasi terpilih berikut boleh dijadikan rujukan.



1) Hadiah buat seseorang berpangkat
من استعملناه على عمل فرزقناه رِزْقًا، فما أخذ بَعْدُ فهو غلولُ

Nabi Muhammad s.a.w bersabda : " Barangsiapa yang telah kami ambil untuk melakukan sesuatu kerja, dan telah ditetapkan baginya sesuatu rezeki (gaji atau upah), maka apa yang diambilnya selepas itu adalah ghulul (pengkhianatan) " ( Riwayat Abu Daud, no 2943, Hadith Sohih ; Ma'alim as-Sunan, Al-Khattabi, 3/8 cet Dar Kutub Ilmiah)



2) Sebuah Hadis :
استعمل النبي صلى الله عليه وسلم رجلاً من الأزد يُقال له ابن اللتبية على الصدقة، فلما قدم قال: هذا لكم وهذا أهدي لي، قال: فهلا جلس في بيت أبيه أو بيت أمه، فينظر أيُهدى له أم لا.... ثم قال: "اللهم هل بلغت ثلاثًا"

Ertinya : Nabi bersabda kepada seorang gabenornya bernama Ibn Lutbiah yang telah ditugaskan mengutip zakat kabilah Azad, maka apabila ia selesai kerjanya dan kembali berjumpa Nabi, lalu ia menyimpan sebahagian dari wang yang dikutip sambil berkata :

"Ini untukmu (bahagian untuk Islam) dan ini untukku yang diberikan sebagai hadiah (oleh orang ramai), maka jatuh murka Baginda sambil bersabda

" Ketahuilah, pergilah kamu duduk di rumah bapamu atau ibumu, sehingga datang kepadamu hadiahmu, jika kamu benar-benar betul (layak mendapat hadiah)

"Ya Tuhanku, adakah telah aku sampaikan (kepada umatku akan hal ini) sebanyak tiga kali..(Al-Bukhari, no 2597 & Muslim no 1832)



3) Di dalam sebuah riwayat disebutkan bahawa Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam mengutus Abdullah bin Rawahah berangkat ke Khaibar (daerah Yahudi yang tunduk kepada kekuasaan Islam) untuk menilai hasil buah kurma di daerah itu kerana Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam telah memutuskan bahawa hasil bumi Khaibar dibahagi dua; separuh untuk kaum Yahudi sendiri, dan yang separuh lagi diserahkan kepada kaum Muslimin.

Ketika Abdullah bin Rawahah sedang menjalankan tugasnya, orang-orang Yahudi datang kepadanya membawa berbagai perhiasan dan berkata kepada Abdullah:

"Perhiasan ini untuk anda, ringankanlah kami dan berilah kepada kami lebih dari separuh," Abdullah menjawab, "Wahai kaum Yahudi! Demi Allah kalian memang makhluk Allah yang paling aku benci. Apa yang kalian lakukan ini justeru membuatkan diriku lebih membenci kalian. Rasuah yang kalian tawarkan itu adalah barang haram, dan kami kaum Muslimin tidak memakannya!" Mendengar jawaban tersebut mereka (Yahudi) berkata, "Kerana (sikap) inilah langit dan bumi tetap tegak!" [Imam Malik, Al Muwattha':1450].



4) Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda :

"Hadiah yang diberikan kepada para penguasa adalah suht (haram) dan rasuah yang diterima hakim adalah kufur" [Riwayat Ahmad].

BAGAIMANA KES MENTERI BESAR KELANTAN?

Bagi kes yang melihatkan Menteri Besar Kelantan, seorang tokoh agama yang dihormati lagi dikashia oleh kebanyakan rakyat Kelantan dan usahawannya. Dari sudut rasuah menurut istilah Syariah, kemungkinan besar ia tidak berkait dengan ciri utamanya.

Berkaitan isu WANG KHIANAT pula, ini juga mungkin boleh TIDAK JATUH kepada beliau jika benar-benar semua hadiah yang diberikan itu tidak bersangkut paut dengan jawatannya tetapi hanya kerana dirinya adalah seorang ulama.

PENGECUALIAN sebegini memang wujud dari teks-teks fatwa silam sebagaimana berikut

يجوز لولاة الأمور والعُمَّال قبول الهدية ممن كان يهدي إليهم قبل توليتهم مناصبهم، كهدية من قريب أو صديق بشرط أن لا تزيد قيمة هذه الهدية عما كان يُهْدى إليهم قبل تولي مناصبهم ولا تكون لها أيَّة علاقة بأعمالهم.

Ertinya : Harus hukumnya bagi seseorang pemerintah dan pegawai (pentadbir) menerima hadiah dari pemberi hadiahkan itu bermula semenjak sebelum ia memegang jawatannya, seperti hadiah hubungan kerabat atau rakan, namun ia dengan syarat NILAI HADIAH YANG DIBERI (SELEPAS NAIK JAWATAN) ADALAH SAMA dengan sebelum naik jawatan, serta MESTILAH HADIAH TERSEBUT TIDAK MEMPUNYAI ikatan dan kaitan sama sekali dengan jawatannya ( kuasanya) [1]

Imam AN-Nawawi pula menegaskan :-

وقد بين صلى الله عليه وسلم في نفس الحديث السبب في تحريم الهدية عليه وأنها بسبب الولاية، بخلاف الهدية لغير العامل، فإنها مستحبة،

Ertinya : Nabi s.a.w telah menjelaskan dalam hadis yang sama (di atas) bahawa sebab pengharaman terima hadiah sebegitu adalah disebabkan oleh JAWATANNYA, berbeza dengan hadiah yang diberikan kepada bukan pegawai yang mana ianya adalah digalakkan. ( Syarah Sohih Muslim, 6/462 )

WALAUPUN BEGITU

Kesimpulannya, dalam kes Tuan Guru Dato' Nik Abd Aziz Nikmat, saya dan ramai lagi yakin bahawa ia tiada unsur rasuah mahupun wang khianat. Ini kerana saya yakin, walaupun beliau tidak memegang jawatan Menteri Besar dan duduk di rumah sahaja sekalipun, masih ramai yang berlumba-lumba untuk memberikannya hadiah tajaan Haji dan lain-lain disebabkan kelebihaan ilmu dan amalan yang terzahir pada diri beliau dan bukan pada JAWATANNYA, sehinggakan seliparnya juga dicuri kerana ‘berkat'. [2]

Namun demikian, kita tidak boleh memandang hanya kepada mereka yang bersangka baik dengan mereka sahaja. Apa yang perlu diteliti kini, semua menyedari bahawa beliau bukan semata-mata seorang tokoh agama, namun juga adalah tokoh politik dan ketua eksekutif pentadbiran bagi sebuah negeri.

Justeru, atas dasar tersebut, menurut penilaian sederhana saya, adalah LEBIH WAJAR untuk beliau menolak sebarang tawaran hadiah haji sedemikian selagi mana beliau masih memegang jawatan Menteri Besar. Pandangan saya ini berdasarkan banyak aspek dan sandaran, sebahagiannya adalah seperti berikut :-

1) Mengelak tohmah dan sangka buruk yang memudaratkan.

Sekiranya kita menyusuri perbahasan hukum-hukum Fiqh di dalam kitab-kitab utama yang silam, akan didapati bagaimana beberapa amalan yang HARUS pada hukum asalnya menjadi HARAM atau ditegah akibat daaripada wujudnya unsur ‘tohmah' dan ‘kebolehan membawa sangkaan buruk' ini dilarangan. Cukuplah kita ambil satu contoh dalam bab ini :

Imam Al-Kasani ketika membicarakan persoalan adab seorang qadhi (adab al-Qadha) menghurai :

ومنها : أن لا يقبل الهدية من أحدهما ، إلا إذا كان لا يلحقه به تهمة .

Ertinya : Sebahagian darinya (adab seorang qadhi) : Adalah tidak menerima hadiah dari salah seorang darinya (dua pihak yang sedang dibicarakan) kecuali jika ia tidak membawa kepada sebarang tohmahan (tuduhan buruk). (Bada'iq As-Sona'ie, 7/10)

Walaupun teks di atas bukan dalam konteks menteri besar atau pemerintah, namun maqasidnya jelas, ia berkait dengan mereka yang memegang kuasa. PEMEGANG KUASA MESTILAH DIYAKINI DAN DILIHAT BERSIH OLEH ORANG-ORANG YANG BERGANTUNG DI BAWAHNYA, jika dia seorang hakim atau qadhi seperti dalam teks di atas, dia mestilah diyakini TIDAK BERAT SEBELAH oleh kedua-dua pihak di dalam mahkamahnya.

Jika dia pemerintah, hal yang sama juga terpakai, IAITU DIA MESTI DIYAKINI BERSIH DAN MAMPU MEMBERIKAN KEADILAN KEPADA RAKYAT BERDASARKAN KELAYAKAN DAN BUKAN ATAS PENGARUH-PENGARUH SAMPINGAN SEPERTI KERABAT, HADIAH YANG DIBERI DAN SEBAGAINYA.

Justeru, dalam hal Menteri besar Kelantan, umumnya mungkin yakin dengan peribadi beliau dalam menjaga keadilan. Namun perlu diingat bahawa di bawah bidang kuasa seorang Menteri Besar, terdapat pelbagai pegawai, pelbagai jenis kuasa untuk menentu dan memutuskan keputusan khsuusnya melibatkan penganugerahan jawatan dan kontrak. Sebahagian besarnya memerlukan kepada nasihat dan rundingan pegawai-pegawai ini terlebih dahulu sebelum dilulus oleh Menteri Besar. Maka sejauh mana pula, orang ramai boleh yakin kepada pegawai-pegawai ini sebegaimana keyakinan mereka kepada Menteri Besarnya.?

Saya kira, ramai orang di bawah beliau tidak mampu menyaingi krebiliti dan ketahanan sehebat beliau. Orang ramai akan menggandaikan si pemberi hadiah akan dikenali oleh para pegawai beliau, yang sebahagiannya turut mempunyai kuasa tertentu, KEADAAN INI TIDAK DINAFIKAN AKAN MEMBAWA TOHMAHAN DAN SANGKA BURUK RAMAI.

Ia boleh membawa sangkaan ramai, BAHAWA PEMBERI HADIAH TAJAAN HAJI INI MENDAPAT LEBIH KEISTIMEWAAN BERBANDING YANG TIDAK MEMBERI HADIAH, Paling kurang, ia menjadikan syarikatnya LEBIH DIKENANG DAN DIINGATI OLEH PARA PEGAWAI. Hasilnya, mungkin lebih mudah untuk memperolehi tawaran kontrak tertentu.

Saya tidak menuduh, saya cuma menyedarkan bahawa ruang sangkaan dan tohmahan itu sangat boleh untuk terbuka. Atas asas itu, saya berpandangan AMAT WAJARLAH Menteri Besar Kelantan untuk MEMBATALKAN MENUNAIKAN HAJI TAHUN INI DENGAN BERBEKALKAN WANG DAN PAKEJ TAJAAN. Namun beliau tentunya boeh pergi dengan wangnya sendiri tanpa perlu membatalkan erus.

Selain itu, saya juga berpandangan tajaan haji di tahun-tahun akan mendatang juga wajar ditolak. Berikanlah sumbangan itu kepada alim ulama lain yang tidak berjawatan rasmi atau pembuat keputusan yang melibatkan wang dan kontrak, yang tidak mendatangkan tohmah dan fitnah dan sangka buruk.

Nabi s.a.w bukan sahaja melarang umatnya bersangka buruk, namun kita juga diajar oleh baginda nabi s.a.w untuk CUBA SEDAYA UPAYA MENGELAKKAN diri dari membuak ruang yang boleh menyebabkan diri kita disangka buruk. Itulah konsep sad az-Zara'i. (penutupan pintu-pintu yang boleh membawa kepada haram oleh diri dan kepada diri).



2) Menolak kemudaratan adalah didahulukan berbanding mendapatkan kebaikan


Ia jelas dari kaedah Fiqh yang cukup terkenal. Benar, menunaikan haji membawa kebaikan kepada penderma dan yang menerima, namun jika ia sehingga menyebabkan nama baik kerajaan pimpinannya rosak akibat dari itu. Wajarlah ia dijauhi. Tidak kiralah mudarat itu akibat sangka buruk, fitnah atau dusta, namun ia tetapi membawa mudarat yang jelas. Lihatlah sekeliling dan media yang sedang mencipta sesuatu buruk dan mudarat dalam isu ini.



3) Maslahat umum didahulukan ke atas maslahat individu (atau yang lebih kecil)

Benar, menerima tajaan hadiah haji itu adalah sebuah kebajikan dan pahala buat dipenderma, pahala dan ganjaran juga bagi yang menerima. Namun jika ia jelas boleh membawa mudarat seperti tuduhan rasuah yang sehingga boleh memudaratkan kemaslahatan yang lebih ramai, bukankah ia lebih baik dijauhi. Si pemberi masih boleh menderma kepada ilmuan lain bagi mendapatkan pahala yang diinginya.

AKHIRNYA

Kesimpulan jawapan saya kepada persoalan yang dikemukakan, SAYA AMAT BERSETUJU untuk Menteri Besar Kelantan menolak tajaan hadiah bagi mengerjakan Haji pada tahun ini, namun beliau masih boleh pergi dengan wangnya sendiri tanpa perlu membatalkan terus.

Saya juga merasakan, TIDAK WAJAR untuk beliau menerima sebarang tajaan haji di tahun-tahun hadapan selagi beliau masih memegang jawatan Menteri Besar atas sebab-sebab yang dinyatakan di atas.

Sekdar itulah pendapat saya secara ringkasnya, ia bukan penentuan hukum, ia hanyalah sebuah pandangan dan nasihat yang boleh diterima atau ditolak oleh sesiapa sahaja. Perlu disedari juga, pandangan dan jawapan kepada soalan di atas bukan sahaja terpakai kepada Menteri Besar Kelantan ketika ini, namun bagi semua penjawat awam, swasta dan ahli politik dari mana-mana jua parti politik.

Sekian



Tuesday, November 10, 2009

Hangus Deposit Jika Batal Beli : Ulasan Hukum

SOALAN

Salam Ustaz.

Saya mempunyai sebuah rumah untuk dijual. Seorang pembeli bersetuju untuk membeli rumah tersebut dan dalam perjanjian kami, saya bersetuju untuk memberi tempoh 4 bulan kepada pembeli untuk menyelesaikan urusan pinjamannya dan sekiranya gagal, deposit akan hangus, iaitu jika dia menarik diri atau dia akan dikenakan penalti dengan membayar jumlah ansuran bulanan kepada pihak bank sekiranya masih ingin meneruskan pembelian.

Adakan jumlah ansuran bulanan itu dikirakan sebagai riba memandangkan kerugian yang saya tanggung kerana memberi tempoh lanjutan kepada pembeli tersebut.

Terima kasih

JAWAPAN

Sebelum menjawab secara langsung soalan yang dikemukakan, adalah lebih baik terdahulu pembaca memahami saya dua konsep deposit di dalam Fiqh Islam. Kedua-dua konsep ini banyak berlaku di dalam masyarakat kita, tanpa menyedari bagaimana pendirian Islam berkenaannya.

Kedua-dua bentuk deposit ini boleh berlaku dengan sama ada antara penjual dan bakal pembeli, atau pemilik aset dengan bakal penyewa atau juga di antara bakal partner di dalam sesebuah syarikat. Juga di antara sebuah syarikat dengan seseorang penulis, artis nasyid, ahli sukan dan sebagainya.

Berikut adalah dua konsepnya di dalam Fiqh Islam :-

1) Sebelum kontrak dimetarai : ia adalah ‘Hamish Jiddiyah'

Hamisyh Jiddiyah adalah sejumlah wang yang dibayar kepada sama ada penjual aset bagi menunjukkan kesungguhan untuk membeli aset tersebut samada melalui bank atau terus darinya sendiri. Ia digelar sebagai ‘security deposit' dan bersifat seperti booking fee atau commitment fee.

Ia juga dilakukan sebelum memeterai sebarang kontrak jual beli, dalam kata lainnya, ia adalah di luar aqad utama jual beli. Namun jika selepas itu kontrak berjaya dimetari, jumlah bayaran dari Hamish Jiddiyah ini akan dikira sebagai sebahagian daripada harga keseluruhan aset.

Jika pihak pelanggan membatalkan hasrat pembelian, para Ulama Shariah di bawah AAOIFI [1] menyebut bahawa penjual hanya berhak untuk mengambil dari jumlah Hamish Jiddiyah yang dibayar bertepatan dengan kerugian sebenar yang ditanggung. Manakala jumlah yang berbaki mesti diserahkan semula kepada pelanggan.

Kerugian sebenar itu, contohnya seperti penjual telah menyediakan kontrak jual beli melalui khidmat firma guaman yang melibatkan kos, pelanggan telah menggunakan khidmat professional valuer yang melibatkan kos dan lain-lain. Maka di ketika pelanggan membatalkan hasratnya, penjual berhak mengambil semua jumlah kos yang telah dikeluarkan dari jumlah Hamish Jiddiyah.

Dalam urusan perbankan Islam, ia diamalkan dalam product ‘Murabahah Tiga Pihak‘ dan juga beberapa produk lain separti Ijarah Muntahiyah Bit Tamleek dan Musharakah Mutanaqisah. Dimana pelanggan akan memberikan sejumlah wang kepada bank bagi menunjukkan kesungguhan pelanggan dalam meneruskan proses pembiayaan dengan bank. Ia perlu kerana jika pihak pelanggan membatalkan proses sedangkan pihak bank telah membeli asset yang dikehendaki, pihak bank akan mengalami risiko besar.

2. Selepas Kontrak dimeterai : Ia dinamakan ‘Urboun atau ‘Arboun

Berbeza dengan yang sebelumnya, ‘Urboun adalah sebahagian harga yang diberikan oleh pelanggan selepas kontrak dimeterai. Ia juga adalah sebahagian daripada harga keseluruhan aset yang ingin dibeli.

Dalam istilah biasa, ia boleh disebut sebagai deposit atau down payment.

Cuma sekiranya pelanggan membatalkan hasrat untuk membeli dan sekaligus membatalkan kontrak. Para ulama menyebut bahawa SEMUA jumlah deposit yang dibayar AKAN HANGUS. Sama ada ia dari kerugian sebenar penjual atau tidak. Namun adalah digalakkan jika penjual mampu memulangkan sebahagian wang tersebut atas ihsannya.

Imam Malik tidak mengharuskan ‘Urboun, beliau menggambarkan ‘Urboun seperti berikut :-

Apabila seorang pelanggan berkata kepada penjual :

"Aku akan beri kamu satu dinar dan satu dirham, dan sekiranya aku meneruskan kontrak ini, pembayaran awalku akan jadi sebahagian dari harga, jika aku membatalkannya, semua jumlah yang kuberi akan jadi milikmu"[2]

Dari sudut dalil, hanya terdapat dua dalil dari bab ‘Arboun, iaitu yang menolak ‘Urboun dan mengharuskannya, namun kedua-dua hadis terbabit adalah lemah.

Konsep ‘Urboun hanya dibenarkan di dalam mazhab Hanbali berdasarkan ijma' para sahabat. Umar al-Khattab dikatakan pernah digunapakai oleh Khalifah Umar al-Khattab dan dipersetujui oleh semua sahabat Nabi yang hidup ketika itu. Gabenor Mekkah di zaman Khalifah Umar pernah membeli sebuah penjara dari Safwan Ibn Umayyah dengan harga empat ribu dirham, dan beliau memberi syarat bahawa jika Umar meluluskan pembelian itu, kontrak akan dimeterai namun jika Umar tidak bersetuju membelinya, Safwan akan diberi empat ratus dirham.[3]

Bagi para ulama kontemporari pula, kedua-dua konsep yang dibincangkan diatas telah disahkan HARUS oleh resolusi Kesatuan Akademi Fiqh Dunia dalam resolsui no 72 (3/8) dan juga resolusi Majlis Shariah AAOIFI, resolusi nombor 5 (7/8)

KEMBALI KEPADA SOALAN

Kembali kepada soalan penyoal, jika pembaca memahami dua konsep di atas, sudah tentu jelas bahawa soalan penyoal jatuh dalam kategori pertama iaitu Hamish Jiddiyah, tatkala itu harus mengambil jumlah deposit yang dibayar sekadar compensate kerugian sebenar sahaja.

Namun saya kurang jelas dengan ayat penyoal

"jika dia menarik diri atau dia akan dikenakan penalti dengan membayar jumlah ansuran bulanan kepada pihak bank sekiranya masih ingin meneruskan pembelian"


Mengapa pula bank ingin mengenakan penaliti ke atas pembeli jika ia ingin meneruskan pembelian? Tiada jelas juga bank siapa yang dimaskudkan, bank yang digunapakai oleh pembeli atau bank penjual?

Apa kaitannya dengan bayaran ansuran bulanan dengan bank? Apa kena mengena penallti dengan bayaran ansuran bank? Oleh itu, saya tidak dapat memberikan ulasan berkenaannya buat masa ini.





Thursday, November 5, 2009

Tangkapan Dr. Asri : Ulasan Saya



Bekas Mufti Perlis tidak dinafikan mempunyai ramai penyokong dan juga pembenci. Itu sudah tabiat manusia yang amat pelbagai. Kita tidak akan mampu untuk mengelakkan diri dari berbeza pendapat, saya juga banyak berbeza pendapat dengan beliau. Kita juga adakalanya tidak mampu untuk mengelak diri dari dibenci secara tiba-tiba, apatah lagi jika seseorang itu terkenal.

Namun, yang dibimbangi adalah perbezaan pendapat yang membawa kepada permusuhan yang dahsyat, label melabel, tuduh menuduh, dan sesat menyesatkan. Sehingga jika diselami hati para pembenci, pasti ada terlihat keinginan yang amat luar biasa malah keji seperti ingin melihat pihak yang lain ditangkap, dipenjara atau lebih dari itu, meninggal dunia.

Padahal isu yang berbangkit kebanyakannya adalah isu yang bersifat zhonni atau yang menerima perbezaan takwilan dan pandangan. Tidak wajar dipergaduhkan dalam bentuk yang ekstrem dan keras. Memadailah untuk mengemukakan hujjah balas kepada apa yang dirasakan lemah, dan kemudian jika pihak di sebelah sana tidak dapat menerimanya, berlapang dadalah.


Selain itu, janganlah dengan mudah menggelarkan seseorang dengan gelaran Wahabi serta terkeluar dari kelompok ahli Sunnah wal Jamaah. Adalah tidak tepat untuk menuduh pandangan ijtihad selain mazhab Syafie adalah Wahhabi, kerana kebanyakkan pendapat yang lain yang diterima pakai oleh sebahagian kelompok di Malaysia (yang berlainan) sebenarnya bukanlah ijtihad Wahabi tetapi adalah dari kalangan mazhab-mazhab ahli sunnah yang lain seperti Hanbali, Maliki dan Hanafi.

Sebagai contoh:

tidak melakukan qunut Subuh adalah ijtihad mazhab Hanbali dan Hanafi,
menggoyangkan jari ketika Tashahhud solat adalah pandangan Maliki,
membolehkan memgang anjing tanpa samak adalah ijtihad Maliki,
tidak membaca basmalah dengan kuat di awal fatihah ketika solat Maghrib, Subuh dan Isyak adalah ijtihad Hanbali dan Maliki dan banyak lagi.
Isu-isu sebegini kerap disalah ertikan sehingga disenaraikan sebagai ciri pengikut Wahabi. Ini tidak benar sama sekali, malah Wahabi itu bukan sebuah mazhab Fiqh atau Aqidah serta tidak mempunyai takrifan yang khas di kalangan para ilmuan Islam sedunia.

Malah menurut sebahagian pandangan ulama antarabangsa, istilah itu dipelopori oleh musuh-musuh Islam dari kalangan bukan Islam, untuk memecah belahkan kesatuan umat Islam. Memang benar, terdapat ulama moden yang menggunakan istilah tersebut di dalam penulisan mereka, namun ia merujuk kepada pengikut aliran Muhammad Ab Wahab di Saudi suatu ketika dahulu, ia bukan sebuah mazhab yang khas.

Di sebelah pihak yang lain pula, jangan pula terlalu ringan lidah menggelar sesuatu amalan itu sebagai bid'ah, sesat, ahli bid'ah dan lain-lain gelaran yang menyakitkan telinga. Gunakan hikmah dalam nasihat, hujjah dan panduan, bukan hukuman dan kejian. Perlu disedari bahawa hujjah YANG DIYAKINI KITA SEBAGAI KUKUH tidak semestinya dinilai kukuh dan tepat oleh ilmuan lain berdasarkan dalil dan kaedah yang juga betul serta diterima dalam displin ilmu Fiqh atau Aqidah Islam.


Imam Muhammad Ibn Sirin berkata :

" Sesiapa yang tidak tidak mengkaji kepelbagaian pendapat fiqh, mereka sebenarnya belum pun dapat mencium bau Fiqh itu"

Bau Fiqh pun belum dapat, apatah lagi inti Fiqh itu sendiri. Banyak menuduh dan meggelar mungkin akan boleh memberikan indikasi bahawa mereka yang terlibat sebenarnya belum menghidu bau Fiqh. Belum masak dan matang dalam ilmu Fiqh.

BERLAPANG DADA, IKTIRAF USAHA & PANDANGAN

Imam Al-Awza'ie ketika ditanya berkenaan sama ada batal wudhu atau tidak bagi lelaki yang mencium isterinya menjawab :

Ertinya : Jika seseorang bertanya kepadaku, aku akan menjawab, batal dan perlu mengambil wudhu semula, namun sekiranya dia tidak mengambil wudhu, aku tidak akan mengutuknya ( Tartib At-Tamhid, 3/345 )

Imam Ahmad Bin Hanbal pula pernah ditanya sama ada sah solat yang menggunakan kulit musang. Jawabnya :

Ertinya : "JIka perbuatannya itu adalah hasil pemahamannya dari nas ((Apa-apa yang disamak maka telah menjadi suci )), lalu bolehlah solat di belakangnya"[1]

Maka ditanya : Adakah engkau juga melihatnya sebagai harus?

Imam Ahmad menjawab

لا , نحن لا نراه جائزا ولكن إذا كان هو يتأول فلا بأس أن يصلي خلفه

Ertinya: Tidak, kami tidak melihatnya harus, tetapi dia ingin menafsirkannya (menggunakan) nas itu, tiada masalah untuk solat di belakangnya.[2]

Al-Qaradawi menegaskan bahawa kewujudan dua pendapat betul dalam satu masalah, sememangnya boleh berlaku. Beliau mengatakan, mungkin satu pihak mengambil rukhsah, yang lain mengambil ‘azimah. Atau kedua-dua benar dalam situasi tertentu yang berbeza, atau kedua-duanya benar sebagaimana wujudnya qiraat bacaan Al-Quran.

Banyak lagi kisah-kisah sebegini yang amat baik untuk difahami dan dihayati. Malah perlu difahami juga, hal ini juga boleh berlaku didalam perihal aqidah. Syeikh Dr Yusuf Al-Qaradawi menjelaskan dengan terang dan nyata bahawa ilmu aqidah itu terbahagi kepada [3]

a) Usul Aqidah : iaitu ilmu bersumber ayat Al-Quran yang tidak terdedah kepada sebarang tafsiran dan takwilan menurut ilmu Usul Fiqh seperti kewujudan Allah, keesaanNya, sifat kesempurnaanNya dan banyak lagi.
b) Furu' Aqidah : Ilmu aqidah yang bersumber ayat Quran dan Hadis sohih tetapi terdedah kepada tafsiran dan takwilan yang sesuai menurut kaedah-kaedah ilmu Usul Fiqh. Seperti Syafaat di akhirat, Melihat Allah di syurga, mentakwil ayat sifat Allah, Imam Mahdi, penurunan Nabi Isa a.s dan banyak lagi.
Justeru, bagi memahami pembahagian ini, perlu difahami sebaiknya ilmu dalalatul ahkam di dalam pengajian ilmu Usul Fiqh.

Saya membawakan hal ini sekadar ingin memaklumkan kepada pembaca bahawa hal ini jika tidak dihayati dan difahami dengan sebaiknya, akan mula muncul perasaan ingin menghina dan bermusuh dengan mereka yang berbeza pendapat dengan kita.

Namun ingat, segala perbezaan ini mestilah datang dari mereka yang berkeahlian.

Yang paling perlu dielakkan adalah, seorang alim melayan debat dengan seorang jahil.

Ia sangat membuang waktu dan menyakitkan kepala sahaja. Kerana si jahil tidak akan mampu memahami laras bahasa dan istilah yang digunapakai oleh si alim. Justeru, tindakan terbaik bagi si alim adalah diam.

Kesimpulannya, dibenarkan untuk menolak hujjah pihak yang lain, namun dalam pada kritikan ilmiah dibuat, jangan lupa juga mengiktiraf bahawa pihak yang lain juga ada niat baik untuk kebaikan Islam. Masing-masing merasakan pendekatan dan ilmu mereka adalah yang lebih tepat untuk membawa kepada keagungan Islam.

Namun jangan terlupa, ruang kesilapan masih boleh wujud di pihak kita. Saya sendiri sering mengingatkan diri saya ketika mengulas isu-isu kewangan dan riba, bahawa saya mungkin boleh berada di pihak yang kurang kuat dan tidak kukuh hujjahnya,

Justeru itu kerap saya katakan kpeada mereka yang sibuk dan marah-marah dengan pandangan saya,

"Pandangan dan tulisan saya tidak wajib ke atas sesiapa untuk mengambilnya, anda bebas untuk terima atau menolaknya"

Cuma harapan saya, jika menolaknya, tolaknya disebabkan kerana hujjah yang lebih meyakinkan dari mereka yang berkelayakan bukan kerana kita terlibat dalam bisnes itu nescaya mesti nak jadikan ia halal, atau dalam kata lainnya, kerana nafsu sendiri.

TANGKAPAN JAIS: SIAPA UNTUNG?

Memang benar JAIS punyai hak mendakwa sesiapa sahaja yang berceramah tanpa tauliah, itulah yang diarahkan oleh Sultan Selangor selaku Ketua Agama di Negeri Selangor.

Namun demikian, saya kira untuk menangkap seorang bekas Mufti sebuah negeri yang telah diiktiraf keilmuannya oleh UIAM sehingga diberi PhD dalam bidang agama, juga oleh Raja Perlis sehingga dilantik menjadi Mufti negeri dan diberi anugerah Tokoh Ma'al Hijrah Negeri. Tindakan itu boleh dikatakan kurang bijak dan secara tidak langsung memperkecilkan penilaian Raja Perlis, Universiti Sains Malaysia (USM) dan banyak pihak lain yang berautoriti.

Bagi saya isu ini lahir hasil ‘sakit hati' yang datang dari pertembungan kedua-dua belah pihak, penyokong dan penentang Dr Asri di Malaysia.

Dr Asri di sebelah pihak yang dikatakan ingin membawa pembaharuan dalam pemikiran agama di Malaysia, manakala sebelah pihak lain adalah mereka yang meyakini sudah cukup dengan cara dan pemikiran agama yang sedia ada, nescaya pertembungan berlaku.

Bermula dari sedikit, ia menjadi semakin besar apabila anak-anak murid fanatik menyemarakkan api pertengkaran serta kutuk mengutuk. Tidak terkecuali kedua-dua pihak mempunyai tekong ‘bergaduh' yang hebat, aktif serta dinamik dalam tugas kurang sihat ini.

Saya yakin, penangkapan Dr Asri berpunca dari perkembangan kurang sihat tersebut tadi, ia sangat mudah dibaca dari laman-laman web ‘tekong-tekong gaduh', ya amat pasti dan ia seolah-olah satu open secret bagi kedua-dua pihak. Ketiadaan tauliah hanya dijadikan alat dan cara berselindung di sebalik undang-undang yang sedia ada.

Memorandum Persatuan Peguam Syar'ie Malaysia boleh memberikan pengesahan berkenaan persengketaan dan perbalahan ini.

Namun sebenarnya, siapa yang untung dengan tangkapan ini?

Memang benar, untung rugi bukan persoalannya di sini, tapi pastinya yang membenci ingin kononnya mematikan dan menggangu gerakan yang dibawa oleh Dr Asri. Dirasakan cara ini adalah terbaik bagi menakutkan kumpulan itu.

Tetapi nampaknya, tangkapan itu menjadi back fire kepada mereka.

Ya benar, saya berasa yakin kini pihak yang tidak menyukai Dr Asri akan merasa tertampar dengan liputan media terhadap isu ini.

Sebagai orang luar dan pemerhati saya lihat, tiada banyak keuntungan diperolehi oleh pihak yang membenci Dr Asri, kerana tangkapan ini hanya menaikkan populariti beliau, malah kalau sebelum ini Dr Asri hanya menceritakan secara peribadi dan agak tertutup berkenaan sokongan pelbagai orang berjawatan besar, ternama dan pelbagai parti politik kepadanya, namun dengan berlakunya hal ini, sokongan tersebut menjadi nyata kepada awam.

Perdana Menteri memberi sokongan,

Mursyidul Am PAS

Menteri Agama,

Menteri Besar Selangor,

Ketua Pemuda UMNO,

Dibincang di dalam Parlimen Malaysia

Ketua Pemuda PAS,

Bekas YDP YADIM,

Tajuk besar beberpaa buah akhbar perdana,

Serta ramai dan banyak lagi

Semua ini membuka lebih besar jalan kepada Dr Asri untuk mendapat samada perhatian, sokongan dan dakwahnya juga akan semakin dekat dan sampai ke hati orang ramai yang baru tertarik untuk membaca blognya, mendengar ucapannya dan sebagainya. Semua ini akibat dari isu penangkapan tersebut.

"Jadi ustaz, siapa yang rugi dan siapa yang untung ? " tanya seorang kenalan di UK

"Sudah tentu Dr Asri dan gerakannya, jadi kalau di ketika ini ahli-ahli gerakannya perlu tampil kehadapan dengan lebih aktif untuk menerang dan menjelas, mereka akan mendapat merit yang banyak, Malah ORANG YANG TAK SOKONG pun boleh jadi sokong kerana mula berasa SIMPATI"

"Namun demikian, mesti disedari, populariti juga boleh ‘membunuh' seseorang ahli agama, rasa ujub, riya dan takbur amat mudah berkembang. Justeru itu dia kena jaga. Kelak nanti setiap lafaz boleh berubah menjadi sombong. Teguran pula akan sentiasa dibakul sampahkan kerana merasa diri sangat popular dan berpengaruh. DAN ORANG YANG SOKONG pun boleh jadi TIDAK sokong kerana mula berasa MELUAT" Tegas saya lagi menjelaskan.

Demikian pendapat saya sebagai pemerhati dari luar, ya luar negara.

SUDAH-SUDAHLAH BERBALAH : BERDAMAILAH

Satu lagi, saya amat ingin melihat kedua-dua pihak menambahkan sikap lunak dan lebih bijak. Benar, bijak itu banyak caranya, keras dan garang juga mungkin sahaja tergolong dalam tindakan yang paling bijak dalam keadaan tertentu. Cuma lunak dan lembut adalah lebih digemari oleh Nabi s.a.w berbanding keras dan kasar.

Jangan pula mengatakan:

"Ala dia yang mula mengutuk dan mengecam, kita balaslah, geng dia saman dulu, kita bagilah dia tindakan undang-undang sebagai balasan"

Ini satu sikap yang tergambar hati yang busuk serta tidak matang. Jangan sampai orang melakukan cara ahli neraka, maka sebagai balasan, kita juga ingin menjadi sepertinya.

Selain itu, saya berkongsi bahawa ulama silam yang hebat kerap meninggalkan kontroversi dan konfrontasi dengan pegangan ahli agama setempat.

Jika ingin membawa perbezaan pendapat sekalipun, sewajarya dilaksana secara berperingkat tanpa menyakitkan sesiapa dengan kata-kata yang mudah disilaptafsirkan, khususnya bagi mereka yang sudah benci.

Ali Abi Talib diriwayatkan berkata :

أقضوا ما كنتم تقضون فإني أكره الإختلاف حتى يكون للناس جماعة

" Putuskanlah hukuman mengikut apa yang telah kamu biasa putuskan, sesungguhnya kau tidak gemar kepada perbezaan agar orang ramai boleh tersu berada di dalam satu jemaah (Tarikh Baghdad, 8/42)

Ahmad Bin Hanbal berkata :

لا بنبغي للفقيه أن يحمل الناس على مذهبه ولا يشدد عليهم

Ertinya : Tidak sewajarnya seorang ahli Fiqh, mendorong orang ramai kepada pegangannya dan berkeras atau memaksakannya (menerima pandangannya) ke atas orang ramai

Benar, perbalahan sesama kita hanya menyebabkan kita letih di pertengahan jalan, kerja gagal dijalankan, imej Islam pula yang menjadi semakin buruk. Kerana itulah ulama haraki seperti Imam Hasan Al-Banna menyarankan agar kita maju ke depan dengan tugas dan usaha masing-masing, lalu satu kaedah yang amat baik dari Syeikh Rashid Redha dicadangkan :

نتعاون فيما اتفقنا عليه ويعذر بعضنا بعضا فيما نختلف فيه

Ertinya : "Kita bekerjasama dalam perkara yang telah kita sepakati, dan saling menguzurkan diri dari perkara yang diperbezakan"

Akhir sekali, HENTIKANLAH berbalah, kutuk mengutuk, fitnah memfitnah dan tangkap menangkap disebabkan oleh perbezaan pendapat dalam hal agama oleh mereka yang berkelayakan. Ia mencemar imej Islam dan menjatuhkan keyakinan mad'u kita yang sebenar kepada Islam.

Firman Allah :-

وَأَطِيعُواْ اللّهَ وَرَسُولَهُ وَلاَ تَنَازَعُواْ فَتَفْشَلُواْ وَتَذْهَبَ رِيحُكُمْ وَاصْبِرُواْ إِنَّ اللّهَ مَعَ الصَّابِرِينَ

Ertinya : Dan taatlah kepada Allah dan Rasul-Nya dan janganlah kamu berbantah-bantahan, yang menyebabkan kamu menjadi gentar dan hilang kekuatanmu dan bersabarlah. Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar. ( Al-Anfaal : 46 )

Sekian

Sunday, November 1, 2009

PTPTN Baru Berasaskan Ujrah : Ulasan Saya

Ada yang bertanya saya berkenaan pengumuman rasmi PTPTN yang mengkhabarkan pertukaran konsep pinjaman sebelum ini yang berasaskan caj perkhidmatan (peratusan tertentu disandarkan kepada jumlah pinjaman dan baki setiap bulan) kepada konsep ujrah.

Konsep ini telah diluluskan oleh Jawatnkuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam pada 28 Julai 2008.

Atas dasar itu, saya boleh mengucapkan tahniah kepada PTPTN atas perubahan terbaru yang dilakukan. Walaupun konsep baru tersebut masih boleh dibincangkan, namun ia adalah lebih baik berbanding konsep caj perkhidmatan sebelum ini yang tidak disahkan oleh mana-mana majlis Syariah, selain kejelasan unsur riba dalam kiraannya.

Apa yang paling menonjol dalam kiraan terbaru adalah perbezaaan peratusan yang dikenakan kepada pelajar, dahulu dikenakan 3 % dari jenis kiraan ‘reducing balance' atau 3 % dari hutang berbaki yang jelas adalah RIBA, ia juga sama dengan cara kiraan riba oleh bank-bank konvensional.

Dengan konsep ujrah sekarang, caj telah diturunkan kepada 1 % dan ia pula bersifat flat dan tidak lagi dikira berdasakan baki bulanan pinjaman. Secara umumnya, ia jauh lebih murah berbanding cara kiraan sebelum ini. Menurut statisik perbandingan dari petikan akhbar berikut (buka halaman 15 ), penurunan adalah sebanyak 47 - 48 %.

UJRAH

Untuk pengetahuan pembaca, ‘Ujrah' adalah perkataan di dalam bahasa arab yang membawa erti "upah". Ia mempunyai kaitan dengan istilah ‘Ijarah' iaitu sewa, kerana ijarah juga ada satu jenis dari upah, iaitu upah atas manfaat yang diberikan. Contohnya, sewaan rumah, beerti upah atas manfaat rumah yang disewakan. Ujrah juga boleh diletakkan di atas sesuatu tugas dan kerja, lalu ia dinamakan ‘gaji' bagi para pekerja tetap di institusi awam dan swasta. Ia juga boleh tergolong dalam nama ‘komisyen' jika diletakkan kepada sebuah kontrak wakil (agency) seperti seorang broker tanah yang mengutip upah atau komisyen atas usahanya menjuakan tanah pemilik. Semua konsep ujarh dalam setiap kontranya mempunyai tatacara dan syaratnya agar ia dianggap sah dan halal di sisi syara'.

Justeru, apakah perbezaaan di antara ‘upah' yang halal dan ‘caj perkhidmatan' yang haram?

Secara dasarnya, ia boleh jadi sama dan boleh berbeza bergantung kepada cara dan formula kira-kiranya. Melihat kepada formula kiraan antara keduanya, Alhamdulillah terdapat perbezaan tetapi ada yang masih sama.

YANG BERBEZA

Bagi konsep ujrah yang terbaru, formula kiraannya adalah :

Upah = Jumlah pembiayaan diluluskan x kadar upah x tempoh bayaran balik

Contoh, jika sekiranya pelajar meminjam sebanyak RM21,000, maka kadar upah adalah satu peratus setahun, UNTUK TEMPOH BAYARAN SEMULA 10 TAHUN, maka jumlah upah adalah:-

Upah = RM21,000 x 1% x 10 (tahun)

= RM 2,100

Maka jumlah keseluruhan yang akan ditanggung atau perlu dibayar balik oleh pelajar dalam tempoh 10 tahun adalah : RM21,000 + RM 2,100 = RM23,100

Jumlah ini jauh lebih kecil berbanding cara kiraan caj perkhidmatan yang akan menghasilkan jumlah RM25,116 iaitu dengan nilai RM 4,116 jumlah caj perkhidmatan ribanya.



APA YANG SAMA DAN SEPATUTNYA BERBEZA JUGA

Walaupun tahniah diucapkan, pintu kritikan ilmiah, pembaikpulihan dan cadangan tidak tertutup semestinya, malah ia patut sentiasa digalakkan bagi mengembangkan kefahaman ilmu muamalat Islam.

Justeru, sekalipun cara kiraan ini kelihatan murah dan baik, serta TELAH disahkan oleh Jawatankuasa Fatwa Malaysia, cara kiraan ini tetap tidak berjaya menembusi piawaian hukum yang diputuskan oleh para ulama antarabangsa. Ini adalah kerana cara kiraannya masih terdapat yang sama dengan cara kiraan riba sebelum ini. Iaitu pada sandaran caj upah. Dahulu ia disandarkan kepada jumlah pinjaman, dalam konsep ujrah terbaru juga disandarkan kepada jumlah pinjaman.

Sekadar ingatan kembali, di dalam hukum Islam, pemberi pinjaman sama ada individu, institusi kewangan swasta atau kerajaan, TIDAK BOLEH mengenakan sebarang caj kewangan kepada peminjam khususnya dari jenis peratusan yang disandarkan kepada jumlah pemberian pinjaman. Berubah dengan berubahnya jumlah pemberian pinjam.

Namun cara kiraan yang diguna pakai oleh PTPTN 'ujrah' yang baru masih disandarkan kepada jumlah atau nilai pinjaman yang diberikan. Selain atas dasar kefahaman nas, para ulama antarabangsa melarangnya untuk mengelakkan caj upah ini menjadi helah kepada riba (helah ribawiyah) yang asalnya caj tambah kepada pinjaman kerana tempoh (time value of money). Kerana dari sudut konsep dan jurus pandangan ekonomi, kedua-dua jenis caj riba dan upah itu adalah sama. Jalan keluar yang paling kukuh adalah TIDAK MENJADIKAN jumlah pinjaman sebagai sandaran untuk mengira upah.

Menurut keputusan Majlis Fiqh Antarabangsa dan lain-lain majlis Shariah yang berautoriti tanpa kepentingan tertentu di mana-mana syarikat dan institusi kewangan di seluruh dunia, caj yang dibenarkan dikenakan kepada peminjam hanyalah kos sebenar yang lahir dari urusan pemberian pinjaman sahaja.Ia tiada kaitan dengan nilai pemberian pinjam.

Cara kiraan caj atau kos sebenar itu menurut ijtihad ulama antarabangsa adalah berdasarkan formula berikut[1]:-

Ujrah = Actual Administrative Expenses During The Year x 100

Average Asset During The Year

Untuk mendapatkan average asset during the period berikut formulanya :

Average asset = A1 + A2

2

Nota Keterangan

A 1 : Total asset at beginning of the period

A 2 : Total Asset at the end of the period

Cara inilah yang juga diiktiraf di Pakistan dan ulamanya, serta diamalkan bagi sebahagian jenis pinjaman di sana. Cara kiraan ini tidak meletakkan sebarang ikatan kepada jumlah pinjaman yang diberi. Ia lebih menepati ijtihad majoriti ulama sedunia.

KESIMPULAN

Apapun, yang pasti para pelajar Islam kini boleh menarik nafas lega kerana harga yang lebih murah dan kedua, ia TELAH disahkan oleh sekumpulan ulama Malaysia. Justeru, tiada lagi sebarang tanggungan spiritual yang harus mereka galas apabila mengambil pinjaman PTPTN. Saya peribadi, saya mengucapkan tahniah atas usaha dan kesungguhan untuk melakukan perubahan. Dan bagi Jawatankuasa fatwa yang meluluskan, kita harapkan ijtihad mereka diterima di sisi Allah, jika tidak dua pahala, satu pahala masih milik mereka inshaAllah.



Sekian