Friday, December 11, 2009

Ulasan Saya Tentang Mufti Perlis & Isu Tuduh Liwat & Zina

Isu-isu semasa di Malaysia masih lagi sempat diikuti, terasa juga ingin menulis panjang beberapa isu seperti tidak setujunya saya dengan pandangan Mufti Perlis dalam isu liwat dan saksi, namun beberapa perkara yang masih serabut di sini menghalang saya dari meluangkan waktu untuk mengetuk keyboard Sony Vaio ini untuk mengulas isu ini dengan panjang lebar buat masa ini.

S.S Dr Mufti Perlis dinyatakan berkata :-

"Mereka ini keliru antara seseorang yang mendakwa orang lain melakukan zina dengan orang yang mendakwa dirinya dirogol dan diliwat," kata Dr Asri.

"Jika disamakan kaedah ini bererti mangsa-mangsa rogol dan liwat kena datangkan empat orang saksi dan kalau gagal berbuat demikian, mereka akan disebat 80 kali. Inikah Islam yang mereka faham?

"Kesalahan memahami hukum beginilah yang akan mengelirukan umat Islam? Jika ini yang ditonjolkan pada masyarakat, maka orang akan anggap Islam itu zalim," katanya lagi." ( Sumber )

Tidak mengulas panjang isu ini, saya hanya ingin memberikan ringkasan pendapat saya dalam isu ini. Bagi mereka yang rajin membaca terperinci, bolehlah merujuk tulisan saya yang lalu di link berikut

Sesiapa sahaja yang menuduh dirogol atau diliwat oleh orang tertentu, ia wajib membawakan empat saksi. Ramai menyoal, dimanakah rasionalnya seseorang dirogol atau diliwat kemudiannya dituntut membawa empat saksi lelaki adil jika ingin mendakwa si penjenayah?. Jika tiada saksi apakah adil untuk di hukum sebatan si pendakwa kerana qazaf?.

Akibatnya, ramai tersilap faham lalu terbayang ‘zalim'nya hukum Islam. Padahal ia tidak sedemikian. Hakikatnya, sistem Islam menjaga kedua-dua belah pihak, penuduh dan yang dituduh.

Padahal isunya adalah sistem kita yang lemah dalam menjaga perkara yang perlu dirahsiakan. Hasil perbincangan saya dengan Mufti Besar Mesir (Sheikh Prof. Dr Ali Al-Jumaah) pada tahun 2004 dalam hal ini amat jelas. Malah saya turut membincangkan hal yang sama dengan professor-professor Shariah di Jordan seperti Prof. Dr Sheikh Mohammad ‘Uqlah El-Ibrahim dan lain-lain. Ia juga pernah diulas sebahagiannya oleh Sheikh Prof. Dr Ramadhan Al-Buti.

Kesimpulannya, begini :-

1- Seseorang yang mendakwa diri diliwat dan dirogol tetap diTUNTUT membawakan empat saksi lelaki adil yang melihat dengan jelas akan apa yang didakwa. Ia hukum asal. Tuduhan dari pihak ketiga atau pihak yang mendakwa menjadi mangsa adalah sama sahaja. Sebagaimana ulama bersepakat, seorang bapa menafikan nasab keturunan anak yang dilahirkan oleh isterinya sebagai menuduh isterinya berzina. Cara penyelesaian khusus diberikan oleh Islam dalam hal ini adalah Li'an. Inilah cara yang dipersetujui oleh Mufti Perlis mungkin berdasarkan kaedah qiyas.

2- Jika tidak mempunyai saksi lelaki yang cukup, terdapat ulama yang membenarkan saksi wanita yang adil untuk diterima iaitu jika kejadian berlaku di tempat yang tidak memungkinkan ada lelaki. Tatkala itu saksi wanita diterima dengan kiraan 2 wanita menyamai 1 lelaki. (rujuk link artikel di atas untuk membaca lanjut)

3- Jika masih tiada saksi maka si ‘mangsa' BOLEH membawakan dakwaan kepada pihak berkuasa dan WAJIB dibuat secara TERTUTUP DAN RAHSIA. Kerajaan WAJIB menjaga aduan ini agar tidak tersebar sama sekali. Jika tersebar, kesalahan terletak di atas bahu kerajaan. Inilah yang dikatakan sistem yang lemah. Setiap isu yang diadu kerap tersebar ke media terutamanya apabila membabitkan selebriti dan orang politik.

4- Prof Dr Ali Jumaah selaku Mufti Mesir juga bersetuju bahawa jika aduan tertutup dibuat, dan disertakan ‘qarain' atau bukti-bukti selain saksi seperti air mani, bulu dan lain-lain yang boleh membantu dakwaan. Ia akan dibicarakan di mahkamah dan hukuman qazaf TIDAK DIKENAKAN kerana Maqasid dari hukuman Qazf adalah untuk membersihkan nama dan maruah tertuduh dari tercemar di mata awam. Namun apabila ia dibuat secara tertutup, TIADA KEMUSNAHAN MARUAH tertuduh berlaku lalu inilah yang ingin dielakkan oleh Islam, iaitu kemusanahan maruah tanpa saksi yang cukup. Dalam keadaan ini, kerosakan maruah mereka yang didakwa ‘merogol atau meliwat‘ akan terkawal dan proses perbicaraan akan menentukan tindakan selanjutnya.

5- Bukti diberikan dianalisa, kemudian jika terbukti benar dakwaannya, perogol dan peliwat akan dihukum ta'zir dan bukan hudud kerana terdapatnya unsur syubhat dalam cara pensabitannya. Justeru, perogol dan peliwat akan dihukum sewajarnya smenurut hemat dan kebijaksanaan hakim Syarie. Jika pengadu tewas di mahkamah, hukuman qazaf juga tidak dilaksanakan kerana dakwaan tertutup dan syubhah dalam pensabitan hukuman qazaf. Justeru, tiada siapa yang terzalim dalam hal ini.

6- Perlu difahami hujjah mereka yang mengatakan zalim hukum jika dihukum qazaf mesti ditimbang sewajarnya antara hak individu yang dituduh dan menuduh. Ada pihak seolah membelakangkan hak mereka yang DITUDUH lalu terlalu melebihkan hak yang menjadi ‘mangsa', kononnya perlu dikasihani. Bagaimana jika tuduhan itu palsu, bukankah yang DITUDUH juga perlu pembelaan Islam. Perlu diingat, dengan mudah seorang wanita tiba-tiba mengaku dirogol oleh seorang Mufti atau Imam Besar tanpa sebarang saksi. Kemudian, dengan mudah boleh diselesaikan hanya dengan bersumpah dan bermubahalah semata-mata?. Mungkin ia belum tentu sesuai pada masanya.

7- Justeru, Islam menjaga kedua-dua belah pihak yang menuduh dan tertuduh, kerana itu sesiapa yang ingin mendakwa dirogol atau diliwat mesti empat saksi atau jika tidak, WAJIB membuat laporan secara tertutup dan kerajaan WAJIB pula menjaga dakwaan dari tersebar.

Itulah ulasan ringkas saya buat masa ini. Saya juga tidak sempat membawakan rujukan kitab dan lain-lain hujjah. Mengulas isu ini perlu lebih bertenang dan perbincangan dengan para ilmuan lain agar tidak tersilap mengulas, terutamanya dari seisapa sahaja yang berlatarbelakangkan agama.


Sekian

2 comments:

  1. Asalamualaikum ustaz!

    Adakah membuat laporan polis seperti yang diamalkan di Malaysia boleh dianggap sebagai laporan tertutup?

    Bagaimana pula perbicaraan kes rogol dan liwat yang dijalankan di mahkamah terbuka di Malaysia?

    Sekian terimakasih

    ReplyDelete
  2. Assalamualaikum Ustaz. Bernas sekali hujah yg ustaz kemukakan. Tiada niat utk sy yg jahil ini mmepertikaikan pandangan ulama2 muktabar yg ustaz kemukakan.

    Namun, realiti hari ini, terlalu suakr utk sabitkna kes rogol berdasarkan 4 org saksi islam lelaki. Malah utk dapatkan saksi perempuan/ dan bkn islam pun sukar. Jd bukti berdasarkan kesan air mani dan DNA adalah lebih menepati kehendak semasa.

    Kalau kita berpijak di bumi yg nayta, tak pernah berlaku kes rogol di hadapan khalayak ramai. Malah, byk juga kes rogol berakhir dgn pembunujhna kejam ke atas mangsa rogol.

    Sy ada terbaca akhbar ttg kes rogol yg berlaku di pakistan. Sungguh menakutkan kaum wanita kerana jelas terdapat kes penganiayaan terhadap wanita., Wanita yg dirogol secara beramai2 dipenjarakan kerana gagal kemukan 4 org saksi yg adil. Perogol pula bebas dan berleluasa. bukti DNA pula tak diterima pakai oleh segelinitr ulama konservatif di sana(sy tak hina pakisktan. Di sana termasuk iNdia telah ramai melahirkan ulama terbilang spt Shah waliyullah, Anwar shah kashmiri, maulana maumadul hassan dll)


    Oklh ustaz, maaf jika pandangan sy ni tak menepati kebenaran. Sy sekadar kemukakan pndapat. Salam ukhwah dari saya

    ReplyDelete